PETALING JAYA 27 Mei – Tindakan Kementerian Kewangan menamatkan perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Prasarana adalah tepat.
Malah keputusan kerajaan itu juga dianggap sebagai berintegriti bagi menjaga maruh serta imej Prasarana dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Exco Keselamatan Armada Selangor, Abdul Rahman Mohamad berkata, kemalangan dua tren LRT yang bertembung dan mengakibatkan ramai cedera serta dikejarkan ke hospital, adalah sesuatu yang mengejutkan malah secara tidak langsung juga memalukan.
Katanya, memang sukar diterima akal ekoran kejadian itu kerana sejak sekian lama beroperasi, tiba-tiba dua tren itu boleh bertembung.
Jika terkeluar dari landasan mungkin alasan ini masih boleh diterima oleh orang ramai.
Sehubungan itu, pengurusan tertinggi Prasarana haruslah bertanggungjawab sepenuhnya.
“Jadi, penamatan perkhidmatan Tajuddin adalah tepat dan membuktikan kerajaan serius dalam perkara ini.
“Sebagai pengurusan tertinggi dalam Prasarana, Tajuddin haruslah menerima hakikat bahawa tindakan menamatkan perkhidmatan beliau walaupun sukar diterima namun demi kebaikan semua.
“Haruslah diingat bahawa apabila menerajui Prasarana, ia lebih merupakan soal tanggunjgawab dan integriti, keselamatan serta kepercayaan rakyat kepada kerajaan,” katanya.
Jelas beliau, kemalangan melibatkan tren LRT itu kini menjadi perbualan bukan sahaja dalam negara, malah negara-negara sekitar.
“Jika perbualan itu positif tidak mengapa, tapi bagaimana jika ia banyak negatif yang kelak memberi imej pada LRT dan Prasarana,” katanya.