PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 yang melepasi angka 8,000 menyebabkan kerajaan mengambil keputusan menguatkuasakan ‘total lockdown’ di seluruh negara bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021.
Keputusan itu diambil dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sepanjang tempoh itu, SEMUA sektor TIDAK DIBENARKAN beroperasi KECUALI sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu sahaja.
Sehubungan itu, MKN juga akan menyeraikan perincian mengenai sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang ‘total lockdown’ itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, keputusan itu diambil setelah jumlah positif Covid-19 melebihi 8,000 kes dengan jumlah kematian sebanyak 2,552 orang.
Kenyataan itu menambah, sekiranya ‘total lockdown’ fasa pertama itu berjaya mengurangkan kes-kes Covid-19, kerajaan akan melaksanakan fasa kedua iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan besar serta yang boleh mematuhi penjarakan fizikal.
Fasa kedua ini juga akan dilaksanakan untuk tempoh 14 hari.
Seterusnya bagi fasa ketiga pula ia akan melibatkan PKP seperti yang dilaksanakan sekarang.
Bagaimanapun kata kenyataan itu, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa lain adalah tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan yang melibatkan perkembangan harian kes-kes Covid-19.
Kerajaan seterusnya memberi jaminan sepanjang ‘total lockdown’ itu Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.
Kenyataan itu juga menggesa rakyat negara ini supaya terus berdisiplin dan mematuhi setiap SOP yang ditetapkan. Duduk di rumah.
PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA