Apa pendirian wakil rakyat PH Pulau Pinang terhadap projek PIPP, PSI?’ – Gerakan

PULAU PINANG 31 Mei – Wakil-wakil rakyat parti komponen Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang khususnya dari PKR dicabar untuk menyatakan pendirian secara terbuka berhubung isu Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIPP) dan Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) Pulau Pinang, Oh Tong Keong ketika membuat gesaan itu berkata, adakah wakil-wakil rakyat berkenaan berpendirian sama dengan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pulau Pinang.

“Rakyat kini tertanya-tanya dan mahu tahu pendirian sebenar wakil rakyat PH.

“Adakah mereka berpendirian sama dengan 10 ADUN (backbencher) DAP Pulau Pinang yang telah memberi sokongan penuh kepada kedua-dua projek itu dengan mengeluarkan kenyataan bersama tempoh hari.

“Saya harap Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen PKR Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar; Ahli Parlimen PKR Pulau Betong, Mohd. Tuah; Ahli Parlimen PKR Pantai Jerejak, Datuk Seri Saifuddin dan Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (PAN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir tampil menyatakan pendirian mereka dalam isu ini,” katanya.

Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan berkata, kedua-dua projek itu bakal mendatangkan impak besar terhadap alam sekitar, khususnya projek penambakan laut yang akan mendatangkan kesan ketara kepada kawasan setempat dan juga persekitaran sistem ekologi berdekatan.

“Tidak menghairankan bahawa 10 ADUN (backbencher) DAP Pulau Pinang menyokong projek penambakan laut, kerana projek itu akan dijalankan di luar kawasan mereka.

“Maka, sudah tentu 10 ADUN DAP itu boleh memberi sokongan mereka dengan memberi kenyataan yang tidak berasas,” katanya.

Beliau berkata, ini bukan masanya untuk wakil rakyat PH berdolak-dalik kerana rakyat kini semakin matang dengan politik tanah air serta sikap para pemimpin negara.

“Rakyat tahu apa yang berlaku, jadi sebagai wakil rakyat kita perlu menyatakan pendirian secara terbuka kerana kita berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Menurutnya, tindakan wakil rakyat DAP itu telah merampas hak dan kepentingan rakyat negeri Pulau Pinang kerana mereka hanya mementingkan kebajikan konsortium-konsortium yang terlibat dalam projek-projek itu.

“Ingin saya tegaskan, terdapat banyak masalah dalam projek PIPP dan PSI. Kedua-dua projek itu masih dalam keadaan yang tidak menentu, kebolehlaksanaan projek itu kurang meyakinkan dan tidak bervisi.

“ PSI satu mega projek yang akan merosakkan ekosistem laut. Adakah PIPP dapat dijalankan dengan lancar setelah projek PSI dijalankan? Hal ini kerana PSI dikatakan digunakan untuk membiayai PIPP.

“Semua ini merupakan satu pertaruhan yang besar, di mana kerajaan PH Pulau Pinang telah mengadaikan kepentingan rakyat dan merosakkan alam sekitar semula jadi negeri ini,” katanya.

Beliau seterusnya mahu wakil rakyat kesemua parti komponen PH Pulau Pinang menjelaskan pendirian masing-masing terhadap kedua-dua projek yang bakal menggugat alam sekitar dan kehidupan rakyat jelata.

“Sekiranya terdapat wakil rakyat PH Pulau Pinang membantah pelaksanaan kedua-dua projek mega ini, kami mengalu-alukan penglibatan mereka dalam usaha mempertahankan kepentingan rakyat bersama dengan Gerakan dan NGO. Biar kita sama-sama berjuang demi rakyat,” katanya.

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *