SEMPORNA 5 Jun – Pernah disahkan positif Covid-19 tahap 4 sebaik sahaja selepas Pilihan Raya Negeri Sabah menyebabkan dia terus dirawat di hospital, namun semangat juangnya untuk terus pulih demi berkhidmat kepada masyarakat menjadikan dia tidak pernah berputus asa.
Mohd. Daud Tampokong yang merupakan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Semporna, terpaksa dikuarantin dan dimasukkan ke hospital sebanyak dua kali.
Akibatnya, berat badan beliau turun sebanyak 20 kilogram selama 20 hari dikuarantin dan dirawat.
“Memang teruk, sesak nafas dan macam-macam lagi hinggakan saya diberikan bantuan oksigen. Doktor sahkan paru-paru dan buah pinggang saya diserang virus Covid-19.
“Tapi syukur Alhamdulillah, saya dapat pulih dan kini sudah pun menerima dua suntikan vaksin Covid-19 sejak Mac lalu,” cerita Mohd. Daud mengenai pengalamannya ‘berperang’ dengan Covid-19.
Dari pengalaman pahitnya itu, beliau kini bersama Kementerian Kesihatan menjalankan kempen mendaftar dan pengambilan suntikan vaksin kepada penduduk Semporna.
Jelasnya, langkah berkempen dan membantu Kementerian Kesihatan itu diambil kerana menyedari ramai kalangan penduduk Semporna yang dianggarkan kira-kira 160,000 orang tidak mendaftar pengambilan vaksin atas alasan takut disebabkan pelbagai persepsi negatif mengenainya.
“Pengalaman disahkan positif Covid-19 bukannya cerita dongeng atau direka-reka. Siapa yang belum kena memang tidak tahu keperitannya.
“Melalui kempen mendaftar bersama kementerian itu yang turut diselitkan program vaksinasi, saya akan ceritakan pengalaman saya.
“Saya tidak mahu penduduk cepat percaya cerita-cerita yang mengatakan vaksin Covid-19 memberi keburukan disebabkan mereka mendengar pelbagai khabar angin,” katanya.
Difahamkan daripada jumlah keseluruhan penduduk Semporna itu, sejak akhir Februari tahun ini hingga sekarang hanya kira-kira 4,000 orang telah divaksin dan ini merupakan jumlah yang amat kecil.
Malah, hanya sedikit sahaja penduduk yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin dan ini memaksa kempen serta program vaksinasi dijalankan dari kampung ke kampung sekitar Semporna.
Keadaan ini disebabkan pelbagai cerita negatif mengenai vaksin mengakibat penduduk takut menerima suntikan itu.
Menjawab pertanyaan, Mohd. Daud berkata, disebabkan ramai penduduk takut menerima suntikan vaksin, sektor pelancongan di Semporna turut terjejas serta tidak dapat bergerak dan kini menuju kepada kehancuran.
“Saya rayu penduduk segera terima vaksin dan janganlah dengar cerita rekaan dari orang-orang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, sektor pelancongan di Semporna yang melibatkan beberapa buah pulau seperti Mabul dan lain-lain mampu bangkit semula jika penduduk segera mendaftar dan menerima vaksin, ditambah pula pengumuman Perdana Menteri mengenai pakej rangsangan PEMERKASA Plus.
“Dalam pakej PEMERKASA Plus itu turut diumumkan mengenai langkah kerajaan membantu memulihkan sektor pelancongan dengan pelbagai insentif.
“Kerajaan sudah hendak membantu pengusaha dan pulihkan sektor pelancongan, dan sekarang terpulang kepada penduduk untuk menyahut langkah kerajaan itu.
“Yakinlah bahawa pelancongan Semporna dapat bangkit semula dan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan sentiasa membantu penduduk. Namun, penduduk haruslah peka untuk menerima suntikan vaksin ini demi kepentingan diri dan keluarga,” katanya.