Pengalaman Tengku Mohd. Ali, isteri dan 5 anak positif Covid-19

JERANTUT 8 Jun – Sekeluarga tujuh orang disahkan positif Covid-19 oleh doktor, memang sesuatu yang sukar diterima akal, namun itu adalah hakikat yang perlu ditelan walaupun pahit.

Selain diri sendiri, isteri serta lima orang anaknya yang berusia 2 hingga 17 turut disahkan positif Covid-19.

Lebih mengejutkan, sebahagian besar penduduk Kampung Paya Teh di mana beliau tinggal, turut disahkan positif.

“Saya dan keluarga disahkan positif Covid-19 pada hari raya pertama baru-baru ini. Kami amat terkejut.

“Akibatnya kami sekeluarga diangkut dan dibawa ke Hospital Temerloh. Kami diberi rawatan serta dikuarantin di hospital selama 10 hari. Ramai juga penduduk kampung yang turut dirawat di hospital sama.

“Nasib kami baik, selepas 10 hari dan pulih sepenuhnya, kami dibenarkan pulang,” kata Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Jerantut, Tengku Mohd. Ali Raja Daud yang berusia 51 tahun.

Menceritakan pengalamannya positif Covid-19, beliau memberitahu, kejadian itu memang tidak disangka iaitu bermula dari demam biasa sahaja.

“Dari demam biasa dan kemudian melarat kepada seisi keluarga. Hari raya pertama kami disahkan positif Covid-19.

“Jika orang lain dapat beraya di rumah, kami sekeluarga pula beraya di hospital dan dikuarantin,” katanya.

Menurut Tengku Mohd. Ali, perasaan bimbangnya tidak dapat disembunyikan apabila memikiran keadaan lima orang anaknya.

“Tapi syukur Alhamdulillah kerana kami kini dapat pulih. Begitu juga ramai penduduk kampung yang turut pulih sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, penularan Covid-19 itu sukar dijangka dan dipercayai tersebar ketika di surau semasa dia dan penduduk lain mengerjakan solat sunat tarawih.

“Pengajaran dari pengalaman yang dilalui itu ialah kena jaga SOP dan kebersihan walaupun berada di mana sahaja sama ada di rumah, surau dan sebagaingya. Tambahan pula apabila berkumpul beramai-ramai.

“Yang penting jaga kebersihan sepanjang masa. Kalau sayangkan orang-orang terdekat, maka jagalah diri kita dan ahli keluarga,” katanya.

Di samping itu, Tengku Mohd. Ali turut menasihatkan orang ramai supaya jangan menolak pemberian vaksin yang diusahakan oleh kerajaan.

Jelasnya, vaksin yang disediakan kerajaan itu bagi menjaga dan melindungi nyawa rakyat dari Covid-19.

“Jangan dengar khabar angin, jangan dengar hasutan kumpulan anti-vaksin. Kalau kita ikut mereka, nanti kita yang susah. Apabila kita positif Covid-19, mereka yang anti-vaksin ini bukan dapat tolong kita. Masa itulah baru kita sedar.

“Kalau belum kena memang tak tahu, tapi bila dah positif akan muncul dalam fikiran apakah kita dapat selamat dari bahana virus ini,” katanya yang masih menunggu tarikh untuk mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *