KOTA MELAKA 13 Jun – Tiga sekawan yang mengambil upah sebagai pekerja pembersihan dan tidak pernah mengharapkan belas ihsan orang lain, tidak menyangka turut menerima bakul makanan melalui Pakej Bantuan Perlindunggan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).
Ketiga-tiga wanita itu yang menjalankan kerja pembersihan di Taman Laksamana Cheng Ho di sini terkejut apabila didekati oleh Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kota Melaka, Datuk Hishmuddin Abdul Karim.
Hishamuddin yang melalui taman berkenaan dan terlihat tiga sahabat karib itu telah memberhentikan kenderaannya lalu bertanya mengenenai kehidupan mereka selain sama ada pernah mendapat bantuan PERMAI.
Dari perbualan ringkas itu, Hishamuddin telah menghulurkan bakul makanan yang mengandungi minyak masak, makanan dalam tin, tepung, gula dan beberapa barangan lain, kepada tiga wanita berkenaan.
Meraka yang terkejut menerima bakul makanan itu ialah Farhana Md. Yusof, 42; Sutija Mohd. Ikhlas, 66, dan Marsiani, 48.
Bagi Farhana, dia selama ini memang tidak tahu cara untuk memohon mendapatkan bantuan termasuk bakul makanan.
“Saya dan rakan-rakan memang terkejut kerana tiba-tiba didekati orang-orang yang bertanyakan khabar.
“Kami tidak menyangka diberikan bakul makanan. Memang barangan ini menjadi keperluan harian kami yang mendapat upah sedikit dari kerja-kerja pembersihan ini,” katanya.
Bagi Sutija pula, dia bersama rakan yang lain pada mulanya tertanya-tanya apabila melihat kehadiran beberapa buah kenderaan mengelilingi taman berkenaan.
“Tiba-tiba kami didekati dan mereka bertanyakan khabar. Selepas itu terus diberikan barangan makanan.
“Saya dan rakan-rakan ucapkan terima kasih, Tapi saya memang tidak tahu nama mereka dan dari mana mereka ini,” katanya yang kemudian diberitahu orang yang menyampaikan bakul makanan itu diketuai oleh Hishamuddin bersama skuad dari Perikatan Nasional.
Marsiani pula berkata, sebagai pekerja pembersihan selama ini memang jarang sekali ada orang yang mahu berbual atau bertanyakan khabar mengenai kehidupan mereka.
“Hari ini rezeki kami kerana mendapat bakul makanan. Terima kasihlah dan kami hanya dapat doakan kebaikan kepada orang-orang yang memberi bakul makanan ini,” katanya.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya akan sedaya upaya menghulurkan bantuan bakul makanan serta bantuan lain apabila terserempak dengan mana-mana orang walaupun di atas jalan raya.
“Mungkin ada orang yang tercicir nama mereka daripada menerima bantuan ini kerana mereka tidak tahu cara memohon,” katanya.