Biro Ekonomi BERSATU tawar 1,000 peluang pekerjaan – Ahmad Sobree

PETALING JAYA 18 Jun – Biro Ekonomi Armada BERSATU Malaysia melancarkan platform yang membolehkan 1,000 anak muda mendapat peluang pekerjaan walaupun negara kini sedang berhadapan dengan pandemiki Covid-19 dan ekonomi.

 

 

Pengerusi Biro Ekonomi Armada Malaysia, Ahmad Sobree Abas berkata, pihaknya telah melancarkan Armada Exchange (AX) dengan kerjasama Halalmall Online dan Persatuan Masa Depan Usahawan Melayu (Mafea).

Menurutnya, melalui platform tersebut anak-anak muda berkenaan akan dilantik sebagai ejen pembekal kepada Halalmall untuk menjual setiap barangan syarikat berkenaan.

“Peranan anak-anak muda itu ialah mendapatkan sebanyak mana pembelian dan tempahan melalui online untuk barangan Halalmall.

“Dari tempahan itu nanti, Halalmall sendiri akan menghantar barangan berkenaan kepada pembeli.

“Anak-anak muda ini kelak mampu meraih pendapatan sehingga mencecah RM5,000 sebulan,” katanya.

Ahmad Sobree berkata, bagi merealisasikan Armada Exchange, anak-anak muda itu boleh mendaftar melalui halalmall.online untuk menjadi ejen kepada Halalmall.

Jelasnya, pendaftaran kini sudah dibuka dan tiada temu duga diperlukan kerana Biro Armada BERSATU melaksanakan platform tersebut untuk menyediakan peluang ekonomi kepada anak-anak muda.

Di samping itu, mereka yang hendak mendaftar hanya perlu membayar yuran RM30 iaitu hanya sekali bayaran manakala RM120 ditanggung serta diberi subsidi oleh Biro Ekonomi Armada BERSATU.

“Biro Ekonomi Armada BERSATU turut menyediakan latihan online secara percuma kepada ejen-ejen yang dipilih.

“Langkah Biro Ekonomi Armada BERSATU ini jika diteliti ia lebih kepada usaha meningkatkan ekonomi anak-anak muda selain sebagai salah suatu tanggungjawab sosial kepada mereka.

“Kita juga tidak menetapkan umur jika mereka mahu menjadi ejen Halalmall,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *