Pelihara Institusi Diraja, jangan rendahkan martabatnya

Banyak yang diperkatakan mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen selepas keluarnya kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad baru-baru ini.

Kenyataan itu turut menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan ahli-ahli politik, ahli-ahli akademik, peguam dan masyarakat umum, khususnya yang berhubung dengan pandangan bahawa Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dan bahawa tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

Menyusulinya adalah pandangan sesetengah pihak bahawa dengan termaktubnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pada 11 Januari 2021 maka Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai kewajiban Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat tidak lagi terpakai dan Baginda tidak lagi terikat dengan nasihat.

Kononnya termasuk di dalamnya adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Sidang Parlimen di mana ini dikatakan termaktub di dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagai mana yang difikirkan sesuai oleh Baginda.

Dihujahkan juga bahawa dalam tempoh Darurat berkuat kuasa Yang di-Pertuan Agong boleh melaksanakan kuasa prerogatif Baginda untuk menggubal Ordinan Darurat bagi menggantung Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai kewajiban Baginda menerima dan bertindak mengikut nasihat jika nasihat Baginda tidak dipatuhi oleh Jemaah Menteri.

Namun begitu, kita perlu bersyukur kerana masih ada dalam negara kita ini tokoh-tokoh perundangan seperti bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, penyandang kerusi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A Aziz, dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang bersuara membetulkan keadaan.

Segera diingatkan oleh Tun Abdul Hamid dan Shamrahayu supaya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu waspada supaya institusi beraja tidak termasuk perangkap pihak yang tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan.

Dijelaskan oleh mereka berdua bahawa Baginda semua perlu sentiasa waspada bahawa mereka adalah Raja Berperlembagaan, dan sebagai Raja Berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong khususnya hendaklah menerima nasihat Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Peguam Negara dalam urusan rasmi yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara Baginda.

Adalah satu fakta yang jelas bahawa mengikut Perkara 145(2) Perlembagaan penasihat undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong adalah Peguam Negara dan Baginda akan berdepan dengan kesukaran jika Baginda membelakangkan nasihat Peguam Negara dan menerima pakai nasihat orang-orang lain, walaupun jika mereka ini adalah pakar Perlembagaan sekalipun.

Walaupun kuasa untuk membuat Proklamasi Darurat dan memasyhurkan ordinan darurat telah diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong, ia tidak mengubah kedudukan kuasa eksekutif di bawah Perkara 39 Perlembagaan. Perkara ini telah dijelaskan dalam kes N.Madhavan Nair v. Government Of Malaysia [1975] 2 MLJ 286 di mana mahkamah memutuskan:

“Undang-undang darurat yang memindahkan kuasa perundangan dari Parlimen ke Yang di-Pertuan Agong tidak menjejaskan kedudukan Baginda sebagai Raja Berperlembagaan, terikat dengan Perlembagaan untuk bertindak pada setiap masa atas nasihat Jemaah Menteri.”

Bukan niat Perlembagaan untuk memberikan kuasa tanpa had kepada Yang di-Pertuan Agong semasa Darurat kerana jika ini berlaku ia akan meletakkan institusi Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan yang boleh mendedahkannya kepada pertikaian. Dalam hal mengenai pengisytiharan Darurat, soal mengenai ‘puas hati’ Baginda tidak boleh dicabar di mahkamah.

Begitupun, keputusan Jemaah Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membuat pengisytiharan Darurat dibenarkan pula untuk dicabar di mahkamah. Ini bermakna di sini ada penampan (buffer) untuk melindungi Baginda daripada pertikaian jika ada mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan apa-apa keputusan yang dibuat oleh Baginda.

Jika Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan sendiri dalam hal-hal urusan pentadbiran harian kerajaan maka pihak yang akan dicabar ialah Baginda sendiri dan ini sudah semestinya akan merendahkan institusi Yang di-Pertuan Agong sekali gus menyebabkan Perlembagaan mengehadkan kuasa budi bicara Baginda kepada beberapa perkara yang tertentu sahaja.

Bila kuasa Eksekutif dijalankan oleh Jemaah Menteri, jika ada mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan apa-apa keputusannya maka Jemaah Menteri bukan sahaja boleh dicabar di mahkamah tetapi juga di peti undi. Niat, semangat dan apa yang terzahir dalam Perlembagaan ini telah elok dan cantik serta tidak perlu dirosakkan dengan tafsiran pelik.

Pihak-pihak yang mengemukakan tafsiran pelik begini, termasuk bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh menggantung mana-mana peruntukan Perlembagaan dalam tempoh darurat, sebenarnya meletakkan institusi dalam situasi bahaya dengan tafsiran salah kerana tidak ada mana-mana peruntukan Perlembagaan yang memberikan kuasa sebegitu kepada Baginda.

Tujuan penggantungan Parlimen dibuat hanyalah untuk memudahkan Ordinan-Ordinan Darurat yang diperlukan untuk mengurus pandemik Covid-19 diluluskan dengan segera tanpa perlu melalui proses Parlimen yang panjang, itu sahaja, bukan untuk memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong bertindak secara sendiri tanpa mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Kalau ditafsirkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak dalam tempoh Darurat, termasuk untuk memanggil Parlimen bersidang, maka apa akan jadi dengan peruntukan Ordinan Darurat yang menyatakan bahawa kuasa Eksekutif Persekutuan kekal dijalankan oleh Jemaah Menteri yang ada pada tarikh Darurat diisytiharkan hingga tamat?

Kalau tafsiran bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk memanggil Parlimen bersidang dalam tempoh Darurat diguna pakai maka pastilah tafsiran bahawa Baginda juga mempunyai kuasa mutlak untuk membubarkan Parlimen turut perlu diguna pakai kerana soal pembubaran Parlimen turut terkandung dalam peruntukan Ordinan Darurat yang sama.

Untuk merungkai apa-apa kekusutan yang timbul, ada baiknya untuk kita semua merenung kembali Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu pada 4 Julai 1992, di mana walaupun semua Raja-Raja Melayu yang menandatanganinya telah mangkat, melainkan Sultan Nazrin Shah yang turut hadir masih ada dan rekodnya juga ada.

Di dalam Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan ini, Raja-Raja Melayu menzahirkan bahawa “Kita akan bertindak atas nasihat” dan “Kita selaras dengan amalan Perlembagaan tidak seharusnya mendedah atau membincangkan dengan pihak media massa apa-apa perkara yang mungkin menimbulkan kontroversi mengenai hal ehwal pentadbiran negara/negeri”.

Selaras dengan itu, adalah lebih bijaksana untuk pihak istana tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Kenyataan seperti Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin telah menimbulkan banyak polemik kerana ini hal politik. Jika yang tidak bersetuju bersuara pastilah ia akan mendedahkan institusi diraja kepada kritikan.

Bukannya tidak boleh Raja-Raja Melayu menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara atau mengenai hal ehwal pentadbiran negara/negeri tetapi biarlah ia dilakukan secara tertib dan rasmi mengikut prosedur dan peruntukan Perlembagaan di mana Perkara 38 (2) Perlembagaan menggariskan bahawa antara fungsi Majlis Raja-Raja adalah untuk:

“Menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut.”

Masa sama, Perkara 38 (3) Perlembagaan juga menggariskan bahawa:

“Apabila Majlis Raja-Raja menimbang teliti perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri, dan Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka; dan penimbangtelitian itu adalah antara fungsi yang dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Jemaah Menteri, dan oleh Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri itu mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan mereka.”

Kita yakin bahawa pihak kerajaan tidak mempunyai niat untuk tidak akur dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dan kita juga percaya bahawa Baginda-Baginda semua ikhlas dalam menzahirkan titah pandangan, cuma jika ia dilakukan secara tertib dan rasmi pastilah tiada pihak boleh menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

 

DR. ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *