PUTRAJAYA 28 Jun – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang melibatkan peruntukan kira-kira RM150 bilion.
Apa yang menarik, pakej tersebut merangkumi semua pihak termasuk golongan B40, M40, miskin tegar, golongan bujang, sektor tani, perniagaan, pengiat seni dan banyak lagi.
Malah PEMULIH juga memperlihatkan peningkatkan pemberian vaksin kepada rakyat di seluruh negara.
Turut diumumkan ialah diskaun bil elektrik, bayaran tunai, bantuan kepada sektor pelancongan, pusat asuhan kanak-kanak, golongan OKU dan sebagainya.
Muhyiddin berkata, dengan mengetepikan perbezaan fahaman politik, kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga bersetuju menambah jumlah peruntukan bakul makanan dengan pemberian RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen.
“Dengan peruntukan RM300,000 itu Ahli-ahli Parlimen seluruh negara dapat menambah dan menyediakan bakul makanan kepada penduduk di kawasan masing-masing.
“Peruntukan RM300,000 itu turut melibatkan Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan berharap mereka ini dapat ketepikan perbezaan politik dengan sama-sama membantu dan membela rakyat,” katanya ketika membuat pengumuman khas PEMULIH yang disiarkan oleh media-media arus perdana hari ini.
Muhyiddin turut mengumumkan kebenaran mengeluarkan wang dari KWSP dan moratorium dengan kelulusan automatik untuk rakyat.
“Bagi meringankan beban ahli-ahli KWSP, pengeluaran baharu iaitu i-Citra sebanyak RM5,000 diperkenalkan dengan keluaran RM1,000 setiap bulan selama lima bulan.
“Ahli-ahli KWSP boleh memohon i-Citra mulai 15 Julai ini melalui portal KWSP.
“Bayaran pertama untuk i-Citra ialah pada Ogos nanti,” katanya.
Turut diumumkan ialah penangguhan bayaran balik pinjaman bersasar selama tiga bulan melibatkan pelajaran termasuk pinjaman Mara, PTPTN dan beberapa agensi lain.
Di samping itu, moratorium dalam pakej PEMULIH itu turut melibatkan peminjam individu dan PKS selama enam bulan.
Mengenai vaksin, Muhyiddin berkata, sebanyak 7 juta dos vaksin telah disuntik kepada rakyat di negara ini dengan pencapaian 200,000 penerima sehari.
“Juga sebanyak 16.3 juta rakyat telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin sehingga kini,” katanya.
Muhyiddin berkata, pelan dan pakej perancangan kerajaan untuk negara dan rakyat negara ini termasuk pemberian vaksin berada dilandasan yang betul.
“Kita juga akan memberi suntikan vaksin kepada pelajar-pelajar SPM. Mereka akan diutamakan. Bekalan vaksin negara untuk rakyat negara ini juga adalah mencukupi,” katanya.
Beliau seterusnya berkata, kerajaan PN akan terus komited untuk membantu rakyat negara ini termasuk mereka yang mencari pekerjaan dengan pakej-pakej bantuan tertentu.
“Kerajaan mendengar keluhan rakyat dan faham masalah mereka. Sebab itu kita komited untuk terus fokus membantu serta membela rakyat.
“Ini termasuk mengekalkan harga petrol RON95, diesel dan LPG hingga akhir tahun ini,” katanya.