Komponen parti dalam PN perlu bertindak terhadap wakil rakyat masing-masing yang cuba menjatuhkan kerajaan

KUALA LUMPUR 3 Julai – Tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen yang menghasut wakil rakyat supaya menjatuhkan kerajaan amat dikesali.

 

Walaupun tindakan itu cuba disembunyikan namun ramai yang mengetahuinya termasuk rakyat serta dalam kalangan ahli politik sendiri.

 

Setiausaha Biro Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata, setiap parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) perlu memantau tindakan wakil rakyat masing-masing bagi memastikan gerakan menjatuhkan kerajaan itu segera dihalang.

 

Tindakan segera dan tegas itu perlu, kata beliau, bagi membuktikan bahawa parti-parti komponen dalam PN ikhlas apabila berada dalam PN dengan agenda utama membela dan menyelesaikan masalah rakyat.

 

“Jika gerakan menghasut wakil rakyat ini benar-benar terbukti berlaku, setiap kepemimpinan parti dalam komponen PN perlu bertindak terhadap ahli serta wakil rakyat masing-masing.

 

“Perlu ada keikhlasan dalam komponen PN. Tumpuan utama kita dalam komponen PN sekarang ialah membantu kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelesaikan segala isu rakyat melibatkan ekonomi, pandemik dan banyak lagi.

 

“Gerakan menghasut wakil rakyat dan cuba menjatuhkan kerajaan ini seolah-olah dilakukan ketika Sidang Parlimen hampir tiba,” katanya.

 

Sehubungan itu, Hishamuddin menyatakan rasa kesal beliau dengan gerakan tidak berintegriti itu yang jelas lebih tertumpu kepada agenda peribadi serta perebutan kuasa politik serta jawatan.

 

“Ini bukan masa yang sesuai. Ini negara demokrasi dan perubahan politik dan pentadbiran negara sepatutnya melalui pilihan raya umum.

 

“Ketika negara sedang bergelut dengan pelbagai masalah dan Perdana Menteri bertungkuslumus menyelesaikan masalah rakyat, ada pula pihak cuba menjatuhkan kerajaan, semua ini menyusahkan rakyat. Malah rakyat jelas menolak tindakan sedemikian hinggakan rakyat muat dengan politik semasa,” katanya.

 

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *