KUALA LUMPUR, 7 Julai — Gerakan untuk mendesak ahli Parlimen UMNO supaya meninggalkan kerajaan dipercayai didalangi beberapa pemimpin parti itu sahaja dan tidak mewakili parti itu secara menyeluruh.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa usaha itu juga tidak mendapat sokongan majoriti bukan sahaja wakil rakyatnya bahkan pemimpin setiap peringkat.
Tambahnya, secara peribadi beliau percaya usaha itu hanyalah tindakan segelintir pemimpin UMNO yang tidak berpuas hati dengan kerajaan serta mempunyai agenda peribadi dan tidak mewakili suara parti itu secara keseluruhannya.
“UMNO secara keseluruhan memilih untuk bersama-sama dengan kerajaan.
“Ramai dalam kalangan pemimpin UMNO dan juga ahli-ahli Parlimen UMNO, memilih untuk menumpukan kepada kebajikan rakyat. Sebab ini masa untuk menjaga kebajikan rakyat.
“Tetapi ada seorang dua sebenarnya yang memilih untuk menimbulkan isu-isu politik ini. Mungkin ada agenda-agenda lain yang timbul dalam keadaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Wan Saiful melahirkan rasa kesal kerana masih ada segelintir pemimpin menimbulkan isu politik ketika negara dan rakyat bergelut untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Saya agak kecewa juga dalam keadaan kita di peringkat kerajaan secara keseluruhannya memilih untuk memberikan fokus dan tumpuan kepada usaha menjaga kebajikan serta kesihatan rakyat.
“Masih ada beberapa orang yang suka menimbulkan isu-isu politik (keluar kerajaan),” katanya.