PORT DICKSON 9 Julai – Menyantuni serta menyerahkan bakul makanan dari rumah ke rumah kepada penduduk yang amat memerlukan bantuan, menjadi rutin BERSATU Bahagian Port Dickson.
Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Md. Isa Adam memberitahu, selagi pihaknya mendapat tajaan bakul makanan serta sumbangan lain, program membantu penduduk akan tetap diteruskan.
Menurutnya, baru-baru ini pihaknya yang mendapat tajaan telah menyerahkan 60 bakul makanan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, gula, susu, makanan dalam tin dan banyak lagi, kepada penduduk.
“Kita bergerak dalam kumpulan kecil untuk mengedarkan bakul makanan tersebut.
“Ini kerana kita perlu mematuhi SOP yang ketat dengan mendapatkan nasihat pihak berkuasa.
“Barangan keperluan asas itu diserahkan apabila kita berkunjung ke rumah penduduk,” katanya.
Beliau berkata, penyerahan bakul makanan itu amat dihargai penduduk terbabit dan yang terbaharu ia melibatkan kawasan Kampung Permatang Pasir hingga ke Pekan Pengkalan Kempas.
“Penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan ekonomi, amat menghargai sumbangan bakul makanan ini.
“Kita juga sedar masih ada lagi penduduk yang memerlukan bakul makanan berkenaan. Kita akan terus usahakan agar tiada yang tersisih,” katanya.
Sehubungan itu katanya. penduduk yang memerlukan bakul makanan atau bantuan lain dalam keadaan negara sedang menghadapi pelbagai masalah kini, diminta menyalurkan maklumat kepada BERSATU Bahagian, Srikandi, Armada dan NGO berkaitan agar bantuan dapat segera dihulurkan.
Ends.