Keputusan MKT UMNO tolak Muhyiddin Yassin tidak berkesan kepada kerajaan sedia ada

 

KUALA LUMPUR 13 Julai – Keputusan MKT UMNO yang menarik balik dan menamatkan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya tidaklah membawa politik negara kita ke mana-mana kerana ia tidak disertai dengan sebarang arahan untuk diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan.

 

Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, keputusan itu dianggap ‘tidak bergigi’ kerana tidak membawa apa-apa kesan ke atas kedudukan kerajaan .

 

Menurutnya, keputusan MT UMNO itu juga bukan bersifat ‘serta-merta’ tetapi hanyalah satu panduan umum jika berlaku sebarang pengundian ketika Sidang Parlimen nanti.

 

Beliau berkata, apabila keputusan itu diambil, secara langsung menunjukkan imej parti berkenaan yang tidak bersyukur, tidak setia, tidak mengenang budi dan pemecah ummah serta tamakkan kuasa.

 

“Budi BERSATU kepada UMNO memang banyak termasuk mengorbankan jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri di Johor, Perak dan Melaka, dan paling terkini mengetepikan pemimpin BERSATU untuk melantik jawatan Timbalan Perdana Menteri dari UMNO.

 

“Keputusan MKT UMNO itu juga telah dikritik kerana dikatakan menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong agar ahli-ahli politik tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika negara berdepan pandemik Covid-19,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO perlu segera menyelesaikan dilema yang dihadapinya kerana ia sudah tidak lagi hidup dalam era keemasan sistem parti dominan.

 

Beliau berkata, untuk terus berdaya maju, UMNO mesti segera belajar menerima kedinamikan politik pakatan serta mengubah perilakunya.

 

“Pemimpin UMNO perlulah lebih berwaspada supaya tidak menjadi seperti peribahasa Melayu terkenal, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Ini membawa maksud keuntungan yang diharapkan tak didapati, sedangkan yang telah ada hilang pula.

 

“Sebab itu, masih belum terlambat untuk UMNO memikirkan kembali dengan secara lebih tenang, lebih rasional dan lebih sistematik pendekatan politiknya kerana sekiranya UMNO mahu kekal bersendirian dalam PRU-15 nasib pastinya tidak menyebelahi mereka.

 

“Tambahan pula dengan tersebarnya audio rakaman seorang Ahli MKT UMNO yang dikatakan merupakan Pengarah Pilihan Raya UMNO sewaktu mesyuarat MKT UMNO itu menyebut jentera pilihan raya UMNO belum bersedia untuk menghadapi PRU-15,” katanya.

 

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *