PUTRAJAYA, 15 Jul — Setiap individu termasuk ahli politik bebas untuk mengkritik kerajaan dalam pengurusan COVID-19, namun pandangan yang disuarakan itu harus dapat menyelesaikan masalah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu berkata negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang serius dan luar biasa yang memerlukan kebijaksanaan semua pihak dalam menyuarakan pandangan.
“Biarlah apa yang disuarakan itu akhirnya untuk membantu negara menyelesaikan masalah. Kalau tidak mampu memberi penyelesaian kepada isu ekonomi, paling kurang jangan menambah kerunsingan petugas barisan hadapan (frontliners) yang sedang berhempas pulas menyelamatkan nyawa,” katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan terhadap kerajaan dalam pengurusan pandemik COVID-19 selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelan Komunikasi Sokongan Kesihatan Mental Dalam Persekitaran COVID-19 secara dalam talian pada Khamis.
Saifuddin berkata adalah penting setiap pandangan yang dilontarkan itu melihat kepada fakta dan sains dengan matlamat memperbaiki keadaan.
Beliau turut meminta semua pihak memberi ruang kepada petugas barisan hadapan untuk menjalankan tugas dengan sebaiknya.
“Frontliners sudah letih dan kalau tular apa-apa pandangan, video dan gambar hanya menyebabkan mereka bertambah runsing dan itu tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya.
Saifuddin turut menyarankan pengamal media supaya lebih fokus kepada laporan mengenai bantuan atau jalan keluar daripada masalah yang dihadapi oleh golongan terkesan akibat COVID-19.
Katanya laporan media harus mengelakkan stigma negatif kisah berkaitan individu yang berdepan masalah mental.
“Objektif adalah meningkatkan kefahaman, elak stigma dan utamanya ada cara jalan keluar dari masalah dan sentiasa ada pihak bersedia memberi bantuan. Itu adalah sumbangan besar dalam kalangan warga media,” katanya.