KUALA LUMPUR, 24 Julai — Bekas Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman digesa agar tidak menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersabit kes pecah amanah yang dihadapinya ketika ini.
Ketua Armada BERSATU Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata Ahli Parlimen Muar itu tidak seharusnya bermain politik kotor serta menuding jari terhadap kerajaan PN.
Kanya, Syed Saddiq tidak seharusnya cuba mengaburi dan mengheret rakyat untuk turut serta membela dan menutup salah laku beliau.
“Di mana rasionalnya dia menyalahkan kerajaan PN atas pendakwaan terhadapnya di mahkamah? Dia berkata berlaku desakan politik namun seluruh negara sedia maklum pendirian dan prinsip Perdana Menteri hari ini.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menegaskan beliau tidak akan mencampuri urusan dan had kuasa mahkamah, jauh sekali menyelamatkan mana-mana ahli politik yang sedang didakwa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Syed Saddiq dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Syed Saddiq yang dipecat daripada jawatan Ketua Armada Bersatu Pusat pada 21 Mei tahun lalu dalam satu video yang dikongsikan dalam laman Facebook miliknya mendakwa diugut akan dihadapkan ke mahkamah sejak setahun yang lalu jika tidak menyertai PN.
Mengulas lanjuut, Muhammad Shamsuddin berkata Syed Saddiq sewajarnya tidak menuduh serta membuat persepsi buruk dengan menyalahkan kerajaan PN yang didakwanya membuat ugutan berdasarkan fakta kes dan laporan media sebelum ini.
“Di manakah imej bersih dan menolak korupsi sedangkan beliau sendiri terpalit dengan beberapa dakwaan.
“Umum juga tahu dia pernah membuat laporan polis berkaitan kehilangan duit dalam peti besi simpanan bernilai RM250,000 disyaki penyelewengan kewangan Armada,” jelasnya.
Tambah Muhammad Shamsuddin, pendakwaan terhadap Syed Saddiq selepas siasatan teliti dan penemuan pelbagai bukti mencukupi yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Oleh itu, jangan kelirukan rakyat, bukan hanya ada laporan atau siasatan terus dikenakan kes.
“Ini bererti jelas ada kes untuk dibuktikan di mahkamah sama ada bersalah ataupun tidak.
“Syed Saddiq tidak perlu gusar sekiranya tidak bersalah dan boleh membuktikannya di mahkamah, dia tidak perlu memburuk-burukkan atau memberi persepsi negatif terhadap kerajaan PN sebaliknya bersikap sebagai seorang ‘gentleman’,” katanya.