KUALA LUMPUR, 25 Julai — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama dengan kementerian lain dan agensi berkaitan bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat yang berjaya dikesan ketika penyerahan Bakul Prihatin Negara.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata selain menyerahkan bantuan Bakul Prihatin Negara, pihaknya mendapati ramai pemohon turut berdepan isu lain termasuk masalah kediaman, pendapatan terkesan akibat pandemik, tidak mendaftar anak orang kurang upaya (OKU) dan tidak mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Ada satu kes dikesan membabitkan masalah kediaman apabila sembilan orang tinggal dalam rumah satu bilik dalam keadaan tidak selesa bersama ibu mereka yang sakit.
“Jadi, saya akan bawa kes ini kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mereka ini mungkin memerlukan kediaman lebih selesa.
“Kita akan bekerjasama dengan agensi dan kementerian lain jika pemohon ini memerlukan bantuan lain pula.
“Bantuan Bakul Prihatin Negara ini bukan sekadar penyerahan bakul makanan, tetapi pada masa sama kita lihat juga masalah lain dihadapi mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan ihsan dan menyerahkan Bakul Prihatin Negara kepada lima pemohon, pada Ahad.
Rina berkata, dalam keadaan pandemik ketika ini, pihaknya mengaku ramai orang terkesan dan memerlukan pelbagai bantuan, justeru kerjasama pelbagai pihak sangat diperlukan.
Beliau berkata, masyarakat juga perlu memainkan peranan membantu menyalurkan maklumat supaya bantuan diperlukan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Katanya, sejak permohonan Bakul Prihatin Negara dibuka mulai 19 Julai lalu, pihaknya menerima 314,749 permohonan.
“Kita sudah menyerahkan bantuan itu kepada 11,740 pemohon yang mampu memanfaatkan lebih 40,000 isi rumah.
“KPWKM mendapat sumbangan daripada lima syarikat korporat bagi menjayakan program Bakul Prihatin Negara ini. Namun, kita minta lebih banyak syarikat tampil membantu kerana jumlah bakul makanan ini perlu ditambah lagi,” katanya.