KUALA LUMPUR, 26 Julai — Ketua Armada BERSATU Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan mengecam sikap ahli-ahli Parlimen pembangkang yang bertindak melakukan kekecohan pada hari pertama Persidangan Khas Dewan Rakyat yang bermula hari ini.
Muhammad Shamsuddin berkata telahan ini telah diramal sewaktu menjadi tetamu bual bicara di Wacana.my dua minggu lalu, bahawa agenda Parlimen kali ini tidak membincangkan soal COVID-19 dan rakyat, sebaliknya tumpuan kepada kepentingan peribadi.
“Ini lah sikap pembangkang.
“Seperti mana saya sebutkan dalam program secara langsung Wacana.my, pembangkang gesa buka Parlimen bukan untuk rakyat tetapi peribadi.
“Dan membuang masa untuk kerajaan terus membantu rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada 11 Julai lalu, dalam program Kerusi Panas yang disiarkan di Wacana.my, Muhammad Shamsuddin ada membangkitkan persoalan mengenai sama ada sidang khas Parlimen akan membincangkan mengenai kepentingan rakyat ataupun kepentingan peribadi.
Namun hari ini, tidak sampai sejam bersidang, sidang khas Dewan Rakyat panas dengan pertikaman lidah antara Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan wakil rakyat pembangkang.
Kekecohan itu bermula apabila wakil rakyat pembangkang meminta penjelasan daripada Azhar Azizan berhubung ketiadaan perbahasan, usul dan undian mengenai Proklamasi dan Ordinan Darurat pada sidang khas berkenaan.