KUALA LUMPUR, 26 Julai -– Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak berpeluk tubuh dalam menangani penularan Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan faham akan keadaan terkini rakyat mengenai kerana penularan pandemik dan cuba sehabis baik untuk mereka.
Menurut Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, kerajaan sedang berusaha untuk mengatasi kemelut yang dihadapi rakyat mahu pun negara.
“Kerajaan ini tidak sempurna. Tetapi apa yang benar juga ialah kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.
“Kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang kita hadapi ini dengan mempercepatkan program vaksinasi.
“Malaysia hari ini adalah antara negara yang terpantas memvaksinasi penduduknya,” katanya ketika berucap dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin.
Muhyiddin berkata kerajaan mahu pun rakyat negara ini harus bersolidariti dalam menghadapi pandemik ini.
“Tidak usahlah kita berbalah dan menuding jari. Kerana di sana ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala frontliners kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan.
“Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usahasama. Bulat air kerana pembentung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh,” katanya lagi.