PUTRAJAYA, 27 Julai — Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (BIF PLAN) 2021-2025 dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara (DAIRY PLAN) 2021-2025 dilancarkan hari ini untuk memacu industri ruminan negara ke tahap optimum.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata dua pelan strategik yang dilancarkannya itu mampu membangunkan industri ruminan melalui pendekatan sistem penternakan yang lebih efisien, meningkatkan kapasiti pengeluaran, pengekalan kos pengeluaran optimum serta memperkukuh pengurusan sepanjang rantaian nilai.
Beliau berkata melalui dua pelan itu, sasaran pengeluaran sebanyak 111,000 tan metrik daging dan 20 juta liter susu segar dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mampu dicapai.
“Ini sekali gus mencapai sasaran 50 peratus tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran daging dan 100 peratus SSL untuk susu segar menjelang 2025,” katanya dalam ucapan pelancaran Simposium Ruminan 2021 sebelum melancarkan kedua-dua pelan strategik itu secara maya hari ini.
Ronald berkata Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara juga bersetuju mewujudkan Lembaga Ruminan Negara yang berperanan memastikan industri ruminan berdaya saing selain mampu menampung permintaan bekalan daging, susu dan produk tenusu dalam negara.
Beliau berkata Lembaga Ruminan Negara itu diwujudkan selaras dengan hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) bagi industri ruminan dan akan beroperasi secara berfasa mulai tahun depan.
Ronald berkata pembangunan Lembah Tenusu akan diteruskan dalam tempoh RMK-12 di beberapa kawasan baharu iaitu di Lembah Tenusu Selatan (Melaka dan Johor), Lembah Tenusu Borneo (Sabah dan Sarawak) serta Lembah Tenusu Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu).
“MAFI juga akan melaksanakan program transformasi usahawan berskala besar dan transformasi penternak kecil melalui kaedah bayaran balik serta geran padanan bagi meningkatkan bilangan populasi induk lembu susu tempatan,” katanya.
Bagi industri pedaging, Ronald berkata insentif pengukuhan model aktiviti pengeluaran daging di zon-zon khusus bagi projek fidlot ruminan akan diberikan melalui skim pengukuhan rangkaian fidlot dari integrasi dan tenusu (Skim FIT) seperti digariskan dalam Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.
Program sedia ada seperti Skim Rezeki Ternak bagi penternak kecil, Program Peningkatan Ruminan untuk penternakan integrasi dan pembangunan 67 ladang satelit di Kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan serta Projek Pertanian Moden akan terus menjadi pemangkin kepada pengusaha penternakan ruminan, katanya.
“Kesemua program ini meliputi skala kecil, semi komersial dan komersial dalam mencapai sasaran pengeluaran 111,000 tan metrik (daging) menjelang 2025,” katanya.