KUALA LUMPUR, 27 Julai — Sidang Khas Dewan Rakyat yang masuk hari kedua membuktikan barisan wakil rakyat pembangkang ketandusan idea yang lebih baik daripada apa yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) rangka dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata mereka yang selalu menuntut sidang Parlimen dibuka kerana kononnya mahu membela rakyat berkaitan isu COVID-19, sebaliknya terjerit-jerit membantah setiap satu yang kerajaan bentangkan.
Ini kerana, katanya, kerajaan telah menggariskan dengan jelas langkah-langkah yang diambil untuk menjaga nyawa dan kesihatan rakyat di mana perancangan membangunkan ekonomi negara diperjelaskan dengan teliti.
“Tapi pembangkang asyik terjerit-jerit membantah setiap satu yang kerajaan sebut. Bantah hanya untuk membantah dan meruntuh negara. Bukan untuk membina.
“Hakikatnya ialah kerajaan ini sudah buat yang terbaik dan pembangkang tiada idea baru.
“Perdana Menteri pun berjiwa besar mengakui bahawa kerajaan ini tidak sempurna. Sepatutnya gunalah peluang berikan idea baru untuk tambah baik apa yang digariskan kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Justeru, Wan Saiful menyeru kepada semua pihak terutamanya wakil rakyat pembangkang agar mengenepikan fanatik politik dan kembali membantu usaha kerajaan melawan COVID-19.
“Ini masa untuk berjiwa besar. Perdana Menteri sudah buka jalan untuk kita bersama-sama dalam satu saf untuk menjaga dan membina semula negara. Pembangkang juga patut mencontohi PN dalam berjiwa besar demi negara.
“Nanti bila sampai PRU15, kita bersainglah secara sihat. Sekarang bukan masanya untuk melayan mereka yang mengejar cita-cita peribadi atau mereka yang cuba menyelamatkan diri dari kes mahkamah.
“Kepentingan rakyat mesti diletak di hadapan,” katanya.