KUALA TERENGGANU, 30 Julai — Semua pihak diminta kekal bertenang, bersatu dan mengetepikan agenda politik bagi memberi ruang dan membolehkan kerajaan menguruskan krisis yang tercetus akibat pandemik COVID-19 melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Razali Idris berkata dalam situasi krisis sekarang, tidak perlu ada mana-mana pemimpin politik ‘menangguk di air keruh’ bagi menampakkan kerajaan tidak stabil.
Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu turut meminta pemimpin politik tidak mengambil kesempatan mengangkat agenda peribadi, termasuk untuk menjadi Perdana Menteri.
“BERSATU Terengganu mendukung penuh kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diyakini mempunyai sokongan cukup di Dewan Rakyat untuk terus menerajui negara melawan pandemik COVID-19,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Pada masa sama, katanya, BERSATU Terengganu melihat kerajaan sentiasa menjunjung titah dan pandangan Yang di-Pertuan Agong termasuk berhubung Ordinan Darurat.
“Kita juga menjunjung kasih titah penghargaan dizahirkan Al-Sultan Abdullah kepada kerajaan kerana melaksanakan mesyuarat khas Parlimen mulai Isnin lalu,” katanya.
Razali berkata, penzahiran pandangan serta titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan sentiasa dijunjung dan terus didukung bersama kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan dan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, BERSATU negeri turut menerima baik penjelasan kerajaan bahawa pembatalan ordinan dibuat secara teratur selaras Perlembagaan Persekutuan.