KUALA LUMPUR, 31 Julai — Kembali kepada agenda sebenar melawan pandemik COVID-19 dan waspada dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan pelbagai berita palsu.
Itu suara ketua-ketua penerangan parti dalam Perikatan Nasional (PN), yang berikrar terus membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Menerusi kenyataan bersama, mereka membidas tindakan sesetengah pihak yang dilihat cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan peribadi dan menyelamatkan diri.
“Kami menyeru seluruh lapisan masyarakat meneliti siri penjelasan yang diberikan oleh kerajaan mengenai situasi terkini. Terlalu banyak pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan peribadi dan untuk menyelamatkan diri, termasuklah dengan sengaja mencipta berita-berita palsu dan mengeksploitasi situasi semasa melalui media sosial.
“Rakyat mesti peka dengan gerak kerja yang tidak bertanggungjawab ini, dan sentiasa merujuk kepada sumber-sumber yang sahih untuk mengetahui situasi yang sebenar,” kata mereka dalam kenyataan pada Sabtu.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan atas nama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Kamaruzaman Mohamad (Pas); Chin Vui Kai (SAPP); Jeffrey Kumin (STAR); Koo Shiaw Lee (Gerakan); Datuk V Gunalan (MIC); Chan Quin Er (MCA); Yong Li Na (PDP); Datuk Julita Majunki (PBS); Datuk Idris Buang (PBB); Datuk Wilfred Nissom (Parti Rakyat Sarawak) dan Asam Yii (SUPP).
“Kami menyeru supaya tumpuan kita dikembalikan kepada usaha menjaga kesihatan rakyat dan membina semula ekonomi negara melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional yang telah dirangka oleh kerajaan,” tambah mereka lagi.
Dalam pada itu, mereka berkata, menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, seperti yang dizahirkan baru-baru ini.
Kata mereka, kenyataan berkenaan memperlihatkan keprihatinan baginda terhadap kebajikan rakyat dan kerajaan sentiasa meletakkannya sebagai fokus dan matlamat utama.