KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ berhampiran Dataran Merdeka semalam, disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan bermotifkan politik.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Razali Idris berkata perhimpunan itu dipercayai didalangi oleh pihak berkepentingan yang terdesak untuk menjadi Perdana Menteri ke-9 dengan kadar segera.
Malah, katanya, amat malang bagi anak muda yang menyertai perhimpunan itu dieksploitasi oleh pihak berkepentingan terbabit tanpa memperdulikan risiko dan nyawa peserta yang terdedah pada jangkitan COVID-19.
“Tapi adakah kumpulan Baju Hitam pada siang 31 Julai 2021 menepati demontrasi yang disuarakan tatkala Varian Delta mengganas dan berleluasa. Apakah perlu di saat ini, turun beramai-ramai berkumpul, berarak serta mewujudkan suasana sesak.
“Perhimpunan sebegini seperti boleh mengakibatkan peserta, ahli keluarga, dan masyarakat sekitar terdedah kepada jangkitan virus Covid-19.
“Secara terang-terangan nampak gayanya pihak berkuasa pastinya mengambil tindakan tegas terhadap dalang, peserta serta pihak penganjur kerana perhimpunan ini ternyata melanggar (Akta 342) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang jelas melarang sebarang aktiviti sosial dan perhimpunan di adakan. Musuh kita bersama adalah virus Covid-19, bukan sesama kita,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, seramai 400 orang menyertai himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di ibu negara yang merancang untuk berarak ke Dataran Merdeka bagi mendesak agar Perdana Menteri dan barisan kabinetnya meletakkan jawatan.
Mengulas lanjut, Razali berkata demonstrasi adalah satu kaedah yang diiktiraf dalam sebuah negara yang mendokong sistem demokrasi bagi menyuarakan hak rakyat.
Namun, jelasnya, di fasa pandemik COVID-19 melanda negara, tidak wajar untuk berhimpun dengan melanggar SOP di jalanan.
Ayuh kita bersatu padu, berdoa dan memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi SOP agar negara, dan kita semua dapat segera keluar dari krisis kesihatan ini.
“Kasihankan barisan hadapan, punyalah bersengkang mata, berpenat lelah dan berkorban masa rehat demi merawat dan menjaga rakyat di fasa pandemik ini, senang-senang kalian langgar SOP buat demontrasi di jalanan.
“Soalnya, mana yang kononnya sayang pada barisan hadapan? Mana yang kononnya perjuangkan kebajikan rakyat?” soalnya.