KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan syabas kepada penerjun negara Nur Dhabitah Sabri yang telah mempamerkan aksi dan tentangan yang amat mengagumkan pada saingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita individu Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.
Perdana Menteri dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau malam ini berkata biar pun tanpa pingat, kelibat dan aksi Nur Dhabitah nyata menghiburkan bersama semangat yang tidak mudah mengalah.
“Layak ke final dan berada di tempat keempat daripada 12 peserta dalam temasya sukan tersohor, Sukan Olimpik Tokyo 2020, juga adalah satu kejayaan yang perlu anda banggakan.
“Jangan sedih. Perjalanan anda masih jauh. Masih banyak kejayaan yang boleh dilakar termasuk pada edisi Sukan Olimpik akan datang. Senyumlah Nur Dhabitah!” katanya.
Nur Dhabitah menamatkan saingan dalam acara itu di kedudukan keempat di Pusat Akuatik Tokyo.
Penerjun berusia 22 tahun itu menampilkan aksi konsisten bagi setiap terjunan dalam lima pusingan acara tersebut namun pungutan mata yang diperoleh tidak mencukupi untuk menaiki podium.
Penerjun yang berasal dari Kuala Lumpur itu terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat setelah mengumpul 326.15 mata.