PUTRAJAYA, 3 Ogos — Sebanyak 73,817 peneroka Felda menandatangani perjanjian menerima inisiatif pelupusan sebahagian besar pinjaman di 64 rancangan atau lebih 90 peratus golongan itu berbuat demikian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun, pelaksanaan inisiatif itu ditambah baik selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada 7 Julai lalu untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.
Beliau berkata, di bawah langkah penambahbaikan itu, mana-mana peneroka yang tidak mempunyai pinjaman dengan Felda akan menikmati insentif tanggungan kos tanam semula dengan kadar yang ditentukan kemudian.
Selain itu, katanya, penghapusan penuh kepada peneroka Bersama Felda yang mempunyai baki hutang di bawah RM5,000 juga akan menikmati insentif tanggungan kos tanam semula dengan kadar ditentukan kemudian.
“Peneroka bersama Felda yang mempunyai baki pinjaman RM5,001 hingga RM50,000 akan menikmati had bayaran kembali (BK) bulanan pinjaman lebih rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapa berkata, perkara itu dicapai berdasarkan libat urus dan turun padang selain maklum balas dan cadangan yang diterima bagi memastikan semua peneroka mendapat manfaat pelaksanaan inisiatif ini.
Jelasnya, dua isu utama yang dibangkitkan peneroka berkaitan tawaran pelarasan pinjaman peneroka adalah jumlah pelarasan pinjaman yang dianggap tidak adil dan peneroka kurang faham dengan beberapa terma dalam dokumen perjanjian.
Untuk itu, beliau berkata, bagi memberikan pemahaman lebih jelas kepada peneroka, adendum (tambahan) kepada perjanjian pelarasan pinjaman peneroka akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
“Isu berkaitan pinjaman peneroka berlarutan sejak 20 tahun lalu yang mana saya difahamkan peneroka Felda tidak pernah mendapat penyata pinjaman mereka.
“Justeru, matlamat utama inisiatif ini untuk menarik peneroka Felda bersama Felda melalui satu sistem pengurusan ladang lestari yang diuruskan mengikut amalan pertanian baik (GAP) dan pertanian mampan mengikut piawaian Malaysia dan Antarabangsa.
“Oleh itu, tawaran pelarasan pinjaman ini adalah berdasarkan syarat peneroka perlu menghantar hasil atau menyerahkan pengurusan kebun kepada Felda. Peneroka yang ingin menguruskan kebun sendiri juga disyaratkan menghantar hasil kebun kepada Felda,” katanya.
Mustapa berkata, satu sesi libat urus akan diadakan pada 9 Ogos ini bersama beliau, Pengerusi dan pengurusan Felda dengan NGO serta pemegang taruh bagi berkongsi perkembangan terkini program pelupusan hutang peneroka.