Keberanian PM bentang usul undi percaya wajar dipuji – Sahruddin

JOHOR BAHRU, 4 Ogos — Keberanian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentangkan usul undi percaya bagi menentukan keabsahan kedudukannya dalam sidang Parlimen pada September ini wajar diberi pujian.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu berbuat demikian kerana keabsahannya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan segelintir pihak.

“Perdana Menteri telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa dirinya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Malah, kesemua cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri telah mendapat perhatian dan perkenan baginda.

“Justeru, kerajaan PN perlu kekal melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr. Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor turut memberitahu, kerajaan perlu terus berfungsi seperti biasa dan sebarang desakan terhadap kedudukan Perdana Menteri harus dihentikan hingga persidangan Dewan Rakyat akan datang.

“Semua ahli Parlimen diseru untuk mengenepikan kepentingan politik masing-masing dan memberi tumpuan penuh terhadap usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

“Tumpuan harus diberi terhadap usaha meningkatkan kadar pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta menyempurnakan usaha membantu rakyat di lapangan,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *