Pemuda PN zahir keyakinan penuh Perdana Menteri ada majoriti selesa

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Pemuda Perikatan Nasional (PN) menzahirkan pendirian teguh dan keyakinan penuh bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai majoriti selesa untuk terus mentadbir, sekali gus membawa negara keluar daripada krisis melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Pemudanya, Khairil Nizam Khirudin berkata Pemuda PN turut merafak sembah di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk Perdana Menteri menentukan keabsahan beliau di Parlimen.

Dalam masa yang sama, Khairil Nizam berkata Pemuda PN mengecam tindakan lapan Ahli Parlimen dan pihak pembangkang yang cuba mengganggu-gugat kestabilan politik tatkala kerajaan dan para petugas barisan hadapan sedang bertungkus-lumus melawan COVID-19.

“Pemuda PN memuji ketegasan dan prinsip Perdana Menteri menghormati kedaulatan undang-undang dengan tidak melayan desakan supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Khairil Nizam menambah Pemuda PN sentiasa berpegang pada konsep budaya politik matang dan sejahtera, dan akan meneruskan politik khidmat bakti pada rakyat.

Terdahulu, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada Rabu, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan

Selain itu, Perdana Menteri turut mendedahkan bahawa terdapat segelintir pihak yang dilihat tidak senang dengan ketegasan beliau dengan tidak melayan beberapa tuntutan mereka, termasuk mencampuri urusan mahkamah.

“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka. Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan,” katanya lagi.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *