Zahid terdesak, cuba rosakkan kestabilan kerajaan PN yang berusaha tangani COVID-19 dan ekonomi

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof kesal dengan tindakan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berterusan merosakkan kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sedang dalam usaha melawan pandemik COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.

Mohd Redzuan, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) mempersoalkan motif Ahmad Zahid yang mahu menjatuhkan kerajaan sekarang, sedangkan gelanggangnya adalah di Dewan Rakyat.

“Saya kesal, Zahid rosakkan kestabilan kerajaan PN yang sedang bergelut dan berusaha untuk melawan COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Saya ingin bertanya kepada Zahid, apa yang dia mahukan? Untuk dirinya, untuk rakyat, untuk negara?

“Apa yang peduli untuk jatuhkan kerajaan. Gelanggangnya adalah di Dewan Rakyat.

“Kerajaan ada di sini untuk terus melaksanakan tanggungjawabnya menguruskan isu semasa kecuali Zahid dapat membuktikan dalam Dewan Rakyat bahawa dia mempunyai kerajaan alternatif dengan sokongan Ahli Parlimen yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mesyuarat MKT pada Selasa mengumumkan bahawa surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Senarai 12 ahli Parlimen UMNO yang disahkan menarik sokongan daripada kerajaan PN adalah diketuai Ahmad Zahid sendiri selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan sehingga kini, Muhyiddin memiliki majoriti mudah untuk mempertahankan kerajaan dan tidak perlu mendesak Muhyiddin untuk meletakkan jawatan.

Ini kerana, katanya, kerajaan pimpinan Muhyiddin tidak pernah mengabaikan apa yang dirancangkan untuk melawan COVID-19 dan memulihkan ekonomi rakyat.

“Mengapa Muhyiddin perlu letak jawatan? PM tidak pernah abaikan apa yang telah dirancang dalam usaha untuk melawan COVID-19 dan pulihkan ekonomi.

“Nasihat saya kepada Zahid, guna kebijaksanaan jika dia peduli dan berhenti heret Istana dalam kancah politik,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *