Mesyuarat IMT-GT ke-27 bincang pelan pasca COVID-19

KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Mesyuarat Menteri-Menteri Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Kali ke-27 hari ini telah membincangkan pelan pasca COVID-19 IMT GT yang akan dilaksanakan melalui Rangka Tindakan Pelaksanaan (IB) 2022 -2026 yang memberikan tumpuan kepada lima perkara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata lima perkara tersebut adalah pendekatan integrasi wilayah berasaskan koridor; peranan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi; memperkasakan institusi di kawasan IMT-GT dalam melaksanakan pelan yang dietapkan.

“Selain daripada itu, fokus juga harus diberikan kepada pertumbuhan yang inklusif serta memberi lebih tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi hijau dan ekonomi biru,” beliau berkata di dalam kenyataan akhbar hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut secara dalam talian.

Mustapa berkata pembangunan di kawasan IMT-GT akan berpaksikan kepada Kerangka Pembangunan Bandar Mampan (SUDF) untuk menyokong transformasi pembangunan Alam Sekitar, Ekonomi dan Tenaga.

Perubahan iklim berpotensi memberi ancaman dan harus ditangani segera melalui SUDF.

“Banyak negara akan mengalami kerugian yang besar sekiranya ia tidak ditangani segera. Justeru, kolaborasi antara ahli IMT-GT juga perlu merangka pelan pemulihan pasca COVID-19 termasuk pembukaan sektor yang teruk terkesan, khususnya pelancongan”.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, Menteri Kewangan Thailand, Arkhom Termpittayapaisith, Naib Presiden Bank Pembangunan Asia (Asia Tenggara, Asia Timur dan Pasifik) Ahmed M. Saeed dan Setiausaha Agung ASEAN, Dato’ Lim Jock Hoi.

Gabungan 32 negeri dan wilayah daripada tiga negara anggota IMT-GT dengan populasi 85.1 juta mempunyai potensi pertumbuhan ekonomi dengan pasaran yang amat luas.

Lapan negeri iaitu Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor mendapat manfaat daripada program-program yang dilaksanakan IMT GT.

Mesyuarat yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan IMT-GT serta wakil daripada kementerian-kementerian serta kerajaan negeri-negeri yang terlibat bertujuan mencari kaedah terbaik bagi menyatukan subwilayah di ketiga-tiga negara berkenaan dalam pembangunan sosioekonomi, perniagaan dan jalinan perhubungan.

Mesyuarat Menteri IMT-GT kali ke-28 akan diadakan di Thailand pada hujung tahun depan.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *