PUTRAJAYA, 9 Ogos — Sempena sambutan Maal Hijrah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kedatangan tahun baharu Islam mengurniakan umatnya dengan keimanan dan kesabaran untuk meneruskan ikhtiar melawan COVID-19 menerusi Pelan Pemulihan Negara yang sedang giat dilaksanakan kerajaan.
“Saya berdoa agar ujian ini berupaya menjadikan kita umat Islam yang lebih bertakwa dan mempunyai ketahanan jiwa serta asertif diri yang padu,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2021/1443 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.
Beliau juga berharap sambutan Maal Hijrah dapat terus dihayati dan disemarakkan oleh umat Islam di negara ini walaupun semua masih berjuang untuk menamatkan pandemik COVID-19.
Muhyiddin berkata sambutan yang diadakan hari ini adalah cerminan iltizam kerajaan agar syiar Islam terus terpelihara dan dimartabat sejajar dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan yang dijunjung tinggi.
“Saya menyeru kepada diri saya dan saudara saudari sekalian, marilah bersama-sama kita menjiwai peristiwa hijrah yang bukan sekadar mengenang perpindahan Nabi Muhammad SAW secara fizikal, dengan meninggalkan harta dan kediaman semata-mata.
“Saban tahun, peristiwa Hijrah ini memperteguh tekad kita untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mengamalkan ajaran Nabi Muhammad SAW, melakukan perubahan sikap dan tindakan kita kepada sifat-sifat mahmudah dan lebih baik sebagaimana dianjurkan Baginda SAW,” katanya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.