TELOK MAS, 15 Ogos — Lebih 2,000 penduduk Melaka ‘menyerbu’ Gerai Prihatin Rakyat yang dianjurkan Perikatan Nasional (PN) Melaka dalam usaha mengurangkan beban rakyat di waktu pandemik COVID-19 melanda negara.
Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata inisiatif program ini adalah kerjasama dengan sektor swasta untuk memastikan rakyat dapat terus dibela dan menangani kos sara hidup yang mencabar ketika ini.
“Program hari ini dapat memanfaatkan lebih 2,000 penduduk. Moga-moga usaha ini dapat mengurangkan beban rakyat kita.
“Terima kasih kepada semua parti komponen PN Kota Melaka yang terlibat iaitu BERSATU, PAS dan Gerakan.
“Minggu depan kita anjurkan di Parlimen Masjid Tanah dan Parlimen Alor Gajah,” katanya ketika ditemui Wacana.my.
Turut hadir, Ketua Bahagian BERSATU Kota Melaka Datuk Hishamuddin Abdul Karim.
Sejak awal pagi, laluan untuk ke program itu sambutan orang ramai yang berbaris menunggu giliran secara ‘pandu lalu’ untuk membeli barangan keperluan harian pada harga RM10.
Antara barangan keperluan harian yang boleh dibeli pada harga RM10 sahaja iaitu seekor ayam segar, sepapan telur ayam dan dua kilo kentang.
Rata-rata pengunjung yang datang ke gerai terbabit dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain kawalan keselamatan dan pengurusan majlis yang teratur.