KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah proaktif dan bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan kesihatan apabila berada di khalayak ramai, termasuk di masjid dan di kawasan awam lain.
Perdana Menteri sementara itu turut meminta semua pihak untuk terus berdoa supaya sentiasa dilindungi Allah SWT daripada COVID-19 dan diberi kekuatan untuk ujian akibat pandemik ketika ini.
“Mudah-mudahan keadaan ini akan beransur pulih dan Malaysia yang kita cintai ini akan sentiasa aman, makmur serta bangkit menjadi lebih kuat dari sebelumnya, insya-Allah,” katanya menerusi Facebook miliknya, sebentar tadi.
Beliau meminta semua pihak supaya jangan berhenti berdoa mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT kerana itu adalah sifat hamba-Nya yang tidak mempunyai kuasa melainkan atas kurniaan yang Maha Esa.
“Jika kita sentiasa berpandu kepada jalan Allah, al-Quran dan sunnah, saya yakin dan percaya hidup kita akan lebih tenang dan bermakna.
“Jangan buat apa yang dirasakan betul. Buat apa yang Allah tentukan betul. Buat apa yang betul. Kepada Allah SWT jualah kita berserah,” katanya.
Dalam hantarannya itu, Muhyiddin turut memaklumkan beliau berpeluang menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara bersama jemaah lain dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) teratur dan ketat.
Hantaran yang dimuat naik kira-kira jam 2.30 petang itu mendapat 42,000 tanda suka, kira-kira 1,500 komen dan dikongsi hampir 996 kali, setakat berita ini ditulis.