KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Seramai tiga Ahli Dewan Negara dilantik semula bagi penggal kedua dalam majlis mengangkat sumpah hari ini.
Upacara yang disiarkan secara langsung oleh Parlimen menyaksikan pelantikan semula Senator Datuk Razali Idris, Senator Ir. Md. Nasir Hashim dan Senator Datuk Ti Lian Ker.
Razali adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Negeri Terengganu.
Md. Nasir pula adalah Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Negeri Johor.
Mereka akan memulakan penggal kedua sebagai Ahli Dewan Negara pada 27 Ogos ini.
Sementara itu, Lian Ker yang bakal mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan petang ini dilantik untuk penggal kedua bermula 10 Ogos ini.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pelantikan tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Setelah dilantik menjadi Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua, dalam keadaan sedemikian, erti sumpah perlu dicerakinkan sebaiknya terutama dalam aspek menunaikan tanggungjawab sedemikian.
“Ertinya, kita harus menilai prestasi penggal pertama dan mempertingkatkan dalam tempoh penggal kedua, sudah tentu Yang Berhormat perlu bekerja lebih keras dalam menunaikan kebertanggungjawaban bukan sahaja kepada dewan dan institusi legislatif tetapi lebih terutama ialah kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.