KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin akan terus ikhtiarkan yang terbaik dan berusaha gigih dalam memperkasa ekosistem pendidikan negara.
Beliau berkata dalam tempoh 18 bulan berada di Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini, banyak perkara yang telah dicapai dalam usaha menambahbaik pendidikan negara.
“Amanah yang diberi akan kami junjung sehabis baik,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini, Radzi terus mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah Pendidikan serta pengurusan tertinggi KPM.
Seramai 30 menteri dan 37 timbalan menteri hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.