KOTA BHARU, 5 Sept — Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa yang sedang dinaik taraf, bersedia untuk dijadikan lapangan terbang antarabangsa apabila ia siap sepenuhnya, namun bergantung kepada permintaan penerbangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurutnya, projek naik taraf LTSIP dengan kos melebihi RM440 juta itu dijangka siap pada pertengahan 2024 dan berupaya menampung sehingga empat juta penumpang setahun (mppa).
“Skop utama projek naik taraf ini adalah merangkumi pembesaran dan menaik taraf bangunan terminal sedia ada bagi meningkatkan kapasiti daripada 1.5 mppa kepada empat mmpa yang dijangka mencapai kapasiti ini pada 2028.
“Malah, projek naik taraf ini akan mengasingkan balai ketibaan dan pelepasan penumpang dengan bangunan terminal yang lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke tapak projek naik taraf lapangan terbang berkenaan pada Sabtu.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan Suhaili Ismail.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata kerja-kerja naik taraf LTSIP bukan sahaja dilaksanakan untuk keselesaan penduduk setempat, malah, bakal menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan apabila pelaksanaan projek itu mencapai waktu kemuncak pada Jun tahun depan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kesalinghubungan antara bandar dan seterusnya merapatkan jurang pembangunan antara wilayah sebagaimana yang menjadi salah satu tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata keadaan pemain industri terutama golongan peniaga adalah semakin baik susulan kerajaan memberi lebih banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi operasi perniagaan, terutamanya di negeri-negeri Fasa Dua dan Fasa Tiga dalam Pelan Pemulihan Negara.
Beliau berkata walaupun sektor perniagaan masih belum pulih sepenuhnya berikutan pandemik COVID-19, keputusan kerajaan untuk membenarkan perniagaan kembali dibuka telah memberi kelegaan kepada golongan peniaga untuk menjana pendapatan.
“Sudah tentu apabila kerajaan mengumumkan kebenaran untuk merentas negeri dan antarabangsa suatu hari nanti, ia pasti akan meningkatkan serta memulihkan semula ekonomi golongan peniaga,” katanya.
Sambil memberikan contoh, Mustapa berkata keputusan kerajaan untuk membuka semula sektor pelancongan di Langkawi sebagai projek rintis kepada pelancong tempatan bermula 16 Sept ini, dilihat mampu meningkatkan semula sektor pelancongan, sekali gus memberi impak positif kepada peniaga.
“Ini adalah satu percubaan (meningkatkan sektor pelancongan) dan pulau-pulau lain seperti Pulau Perhentian, Pulau Tioman, Pulau Pangkor akan menyusuli seperti yang diumumkan kerajaan untuk Langkawi,” katanya.