PTPTN tawar pinjaman kepada asnaf mulakan perniagaan

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi program PTPTN Prihatin akan memberikan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM100,000 kepada 20 peminjam kategori asnaf bagi memulakan perniagaan secara dalam talian.

Program itu mendapat kerjasama FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd iaitu anak syarikat FGV Holdings Berhad yang mengendalikan perniagaan menjual barangan keperluan harian secara dalam talian menerusi platform jenama Gogopasar.

Gogopasar menerusi pautan digital www.gogopasar.com membolehkan pelanggan mendapatkan keperluan barangan segar seperti ayam, daging, sayur-sayuran, ikan serta barangan keperluan harian lain.

PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan, menerusi kerjasama itu, peminjam golongan asnaf akan dibantu untuk menjadi usahawan Gogoprenuer dalam memperkenal dan menjual barangan secara dalam talian di sekitar Lembah Klang.

“Setiap peminjam PTPTN akan menerima sumbangan RM5,000 untuk setiap pakej Gogoprenuer merangkumi penyejuk khas dua pintu dan kelas latihan dengan enam bulan pemantauan.

“Selain itu peminjam yang layak juga akan mendapat buku pemasaran dan perniagaan, bunting, banner, pelekat kereta, topi serta kemeja-t,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lalu, banyak mengubah corak kehidupan masyarakat terutamanya aktiviti seharian.

Katanya, ia termasuk aktiviti pembelian dan ketika ini pembelian dalam talian melalui penggunaan e-dagang semakin menjadi pilihan masyarakat untuk mendapatkan bekalan barangan dan perkhidmatan termasuk makanan.

“Justeru sebagai agensi yang sentiasa cakna terhadap perubahan semasa, PTPTN memilih untuk menjalin kerjasama dengan FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd untuk membantu peminjam dari golongan asnaf melalui perniagaan secara dalam talian selari dengan perubahan masa kini.

“PTPTN berharap kerjasama ini akan memberikan ruang dan peluang kepada peminjam PTPTN untuk meneruskan kehidupan dengan ekonomi yang lebih baik.

“Selain itu jalinan kerjasama ini juga diharap dapat meluaskan sokongan komuniti kepada pembelian dalam talian melalui platform digital,” katanya.

Justeru katanya, peminjam yang berminat boleh memohon untuk menyertai program itu dengan membuat pendaftaran melalui kaedah yang akan dimaklumkan oleh FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd kelak.

Katanya, pengesahan status peminjam dan kategori asnaf akan dilaksanakan oleh PTPTN melalui kerjasama dengan Lembaga Zakat Negeri.

“Peminjam yang memenuhi kriteria akan melalui sesi temuduga untuk pemilihan 20 peminjam yang berjaya menerima sumbangan,” katanya.

Sementara itu pada 30 Ogos lalu, PTPTN menyerahkan sumbangan berkenaan kepada FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd.

Replika cek RM100,000 itu disampaikan Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada Ketua Pegawai Eksekutif FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd, Haslinda Alias sebagai simbolik penyerahan sumbangan.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *