Laporan Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 dijangka Januari ini

KUALA LUMPUR, 14 Sept — Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 dijangka selesai pada hujung bulan depan dan laporan awal mengenainya akan diterbitkan pada Januari tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sejak dilancarkan pada 7 Julai tahun lalu, banci yang dilaksanakan buat kali keenam itu sudah tertangguh sebanyak empat kali akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata, sehingga 12 September lalu, sebanyak 79.7 peratus daripada 32.6 juta penduduk negara ini sudah dibanci.

“Kita dijangka dapat menyelesaikannya pada Oktober dan akan memastikan maklumat lengkap akan dapat diperoleh.

“Selain kaedah utama melalui Banci Dalam Talian (e-Census), kita akan menggunakan kaedah Temu Bual Telefon Dibantu Komputer (CATI) yang dilaksanakan secara berterusan.

“Kita akan cuba terus menggunakan kaedah banci secara bersemuka sehingga akhir bulan depan berikutan masalah geografi dan capaian internet yang dihadapi. Kita masih ada 20.3 peratus penduduk yang masih belum dibanci,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang bertanya sama ada Program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang terjejas akibat COVID-19 akan dilaksana semula.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *