KUALA LUMPUR, 16 Sept — Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru semua pihak untuk menjadikan tarikh 16 September hari ini sebagai pemangkin dan titik permulaan kerjasama lebih erat sebagai Keluarga Malaysia untuk membantu proses pemulihan dalam aspek ekonomi mahupun sosial.
Presiden BERSATU itu berkata, beliau juga yakin dan percaya negara berjaya keluar dari kemelut Covid-19 dengan selamat dan teratur berbekalkan semangat perpaduan yang jitu serta usaha bersama seluruh rakyat Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia, di mana jua anda berada.
“Pupuk dan semaikan semangat cintakan negara dalam diri setiap daripada kita. Wujudkanlah Malaysia yang prihatin, Malaysia yang cekal, Malaysia yang gagah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga menyeru semua pihak untuk terus menggembleng usaha, membulat tekad dan bersatu hati menyumbang sehabis baik agar negara kekal aman, makmur serta sejahtera.
“Berikrarlah pada diri sendiri, bahawa kita akan melakukan yang terbaik untuk Malaysia walau betapa getir cabaran yang kita tempuhi ketika pandemik.
“Jangan sesekali berputus asa kerana usaha kita bersama setakat ini sudah mula membuahkan hasil dan menunjukkan kejayaan.
“Marilah bersama-sama melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan bahawa hari-hari yang mendatang adalah lebih baik untuk Malaysia yang kita cintai ini, Insya Allah,” katanya.