Rakyat diseru terus waspada, patuh SOP yang ditetapkan – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Pembukaan sektor ekonomi dan kelonggaran SOP bukan petanda negara sudah bebas dari wabak COVID-19.

Malah, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat agar terus berwaspada dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kewujudkan varian COVID-19 yang lebih ganas dan bahaya kini akan terus mengancam nyawa,” katanya.

Beliau mengingatkan rakyat agar tidak mengambil sikap sambil lewa walaupun pandemik ini telah diisytiharkan sebagai endemik.

“Kita mesti terus melindungi diri kita supaya kita dapat melindungi orang tersayang dan negara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menyeru rakyat agar terus bersatu hati sebagai satu bangsa demi mencapai matlamat bersama, iaitu memenangi perang menewaskan COVID-19.

Dalam ucapan sempena Hari Malaysia beliau yang dimuat naik di Facebook, Muhyiddin mengajak rakyat untuk bersama-sama mengembeling tenaga dan berganding bahu membina semula ekonomi dan kehidupan pasca pandemik.

Beliau berkata sempena sambutan Hari Malaysia ini kerajaan dapat teruskan usaha untuk memenuhi semangat dan hasrat perjanjian Malaysia 1963.

“Usaha ini amat penting dan bermakna terhadap penduduk Sabah dan Sarawak yang pastinya akan memperkukuhkan lagi semangat perpaduan dan integrasi nasional di negara ini,” katanya.

Muhyiddin menyeru agar semua rakyat bersama-sama melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan bahawa hari-hari yang mendatang adalah lebih baik untuk Malaysia.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *