SEPANG, 19 Sept — Kira-kira 70 peratus atau 8,895 daripada 12,545 kakitangan taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara telah lengkap vaksinasi COVID-19, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Beliau yang berpuas hati dengan perkembangan tersebut berkata seramai 1,853 kakitangan taska pula telah menerima satu dos suntikan COVID-19 sehingga 17 Sept lepas manakala 1,797 kakitangan lagi sedang menunggu janji temu untuk mendapatkan suntikan.
“Saya minta pengusaha taska untuk pastikan SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi bagi memastikan persekitaran taska selamat untuk kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persediaan operasi taska di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Sept lepas mengumumkan tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda untuk anak-anak yang ibu bapanya bekerja dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 17 Sept.
Rina berkata 2,618 pengusaha taska di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada Bantuan Khas Taska di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang disediakan untuk kelangsungan operasi taska berdaftar JKM.
Katanya bayaran telah dibuat mulai 1 Sept lepas yang menyediakan bantuan sebanyak RM3,000 bagi taska insititusi, taska di tempat kerja dan taska komuniti manakala RM800 untuk pengusaha taska di rumah.
Beliau berkata bantuan itu adalah untuk meringankan beban pengurusan taska dan membantu proses pengoperasian mereka seperti menanggung kos disinfeksi taska atau barang-barang keperluan lain agar taska dapat mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.