KUALA LUMPUR, 23 Sept — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk membawa isu Muhammad Ziyad Zolkefli ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya gagal meyakinkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Persatuan Olahraga Para Dunia (WPA).
Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sebelum itu KBS akan memohon agar satu sesi pendengaran khas IPC dan WPA terhadap rayuan yang dikemukakan sebelum ini.
“KBS juga akan meneliti pandangan daripada jawatankuasa siasatan dalaman yang ditubuhkan untuk merancang pelan tindakan susulan bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Persatuan Olahraga Para Malaysia (POPM) mengenai insiden yang berlaku,” katanya ketika menggulung Usul Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Pada 31 Ogos lepas, Muhammad Ziyad dinafikan pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m), yang juga rekod baharu dunia di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasi sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa beliau lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Susulan insiden itu, Ahmad Faizal berkata KBS akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) penyertaan atlet ke temasya sukan antarabangsa terutama yang melibatkan atlet paralimpik supaya perkara sama tidak berulang.
Sementara itu, beliau berkata KBS berhasrat untuk membangunkan satu polisi komprehensif industri sukan yang holistik bagi memastikan sektor industri sukan negara dibangunkan secara tersusun, teratur dan berdaya saing.
“Sektor industri sukan wajar diberi perhatian serius memandangkan keupayaannya untuk menyumbang secara signifikan kepada ekonomi Malaysia walaupun dianggap industri yang baru berumur dua dekad. Potensi industri sukan amatlah besar untuk kita terokai,” katanya.