KOTA BHARU, 25 Sept — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengadakan satu perbincangan untuk menjalinkan kolaborasi strategik di antara KPWKM dan Kerajaan Negeri Kelantan.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata antara pengisian perbincangan termasuklah cadangan perluasan fungsi masjid sebagai Pusat Transit dan Pusat Aduan Mangsa Keganasan Rumah Tangga serta perluasan Projek Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara tanpa tunai (cashless).
“Turut dibincangkan ialah penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) Bantuan Am Persekutuan dan Negeri Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelumnya, Rina hari ini telah mengadakan satu kunjungan hormat kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam sesi lawatan kerjanya di Kelantan.
Turut sama hadir dalam perjumpaan tersebut Timbalan Menteri Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan Datuk Mumtaz Md. Nawi.
Rina dalam pada itu berharap agar pertemuan tersebut dapat mengukuhkan lagi kerjasama di antara KPWKM dan Kerajaan Negeri Kelantan.
“Diharapkan dengan pertemuan ini dapat mengukuhkan lagi wasilah dan silaturrahim di antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan KPWKM dalam usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan kebajikan dan pemerkasaan ummah demi pembentukan Keluarga Malaysia yang sejahtera,” katanya.