ALOR SETAR, 25 Sept — Semua sekolah di negeri Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) perlu membuat persediaan rapi sebelum sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober ini.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata antara yang perlu diberi perhatian pihak sekolah adalah sistem pengudaraan yang baik bagi mengurangkan sebarang risiko penularan jangkitan COVID-19 khususnya melibatkan varian Delta.
“Seperti mana nasihat daripada Kementerian Kesihatan dalam konteks varian Delta ini, apa yang paling penting adalah pengudaraan bukan sahaja dalam bilik darjah, bilik khas dan pejabat, tetapi seluruh kawasan berbilik di sekolah perlu dipastikan berlaku pengudaraan yang baik.
Saranan kepada sekolah-sekolah (dalam Fasa Empat), selain Langkawi ada dua lagi tempat iaitu Labuan dan Negeri Sembilan yang akan memulakan sesi persekolahan (secara bersemuka pada 3 Oktober ini), maka persediaan itu perlu dibuat dengan rapi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, semua langsir atau poster yang digantung di dalam bilik-bilik darjah atau bilik khas perlu dialihkan bagi memastikan pengudaraan berada pada tahap terbaik.
Menurutnya, walaupun sesi persekolahan nanti hanya melibatkan kelas peperiksaan, namun persiapan awal perlu dilakukan sebelum sesi persekolahan secara bersemuka dibenarkan kepada murid-murid daripada kelas lain.
Terdahulu, Radzi mengadakan tinjauan ke empat buah sekolah di Pulau Tuba, Langkawi bagi melihat persiapan sekolah berkenaan untuk menerima kehadiran murid apabila sesi persekolahan dibuka nanti.
Sekolah-sekolah yang dilawati adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi, Pulau Tuba; Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Chempedak; SK Pulau Tuba dan SK Selat Bagan Nyior.
“Secara umumnya saya lihat sekolah-sekolah ini telah bersedia untuk menerima kehadiran murid apabila dibuka kelak,” katanya.