KUALA LUMPUR, 29 Sept — Kerajaan akan memantau segala implementasi rancangan yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melalui pelan pelaksanaan di bawah Unit Perancang Ekonomi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan akan bekerjasama dengan pihak swasta serta badan bukan kerajaan sebagai rakan dalam pembangunan di bawah RMK12.
“Memang isu utama adalah pelaksanaan (RMK12). Sekarang di Parlimen sudah dimulakan perbahasan (RMK12) dan banyak dipertikaikan mengenai kemampuan kita untuk melaksanakan rancangan yang cantik di kertas, dan kerajaan menerima kritikan secara terbuka.
“Ini mendorong kita untuk bekerja lebih keras,” katanya dalam program Agenda Awani bertajuk ‘RMK12: Keluarga Malaysia Pacu Realiti Baharu Malaysia,’ yang disiarkan malam tadi.
Mustapa berkata kerajaan menghadapi cabaran untuk merangka RMK12 ketika negara menghadapi krisis ekonomi dan kesihatan akibat COVID-19.
“Ada yang berpendapat, kenapa perlunya rancangan lima tahun. Kerajaan berpendapat kita harus ada visi untuk hala negara ke satu arah. Kalau kita tidak ada rancangan lima tahun, hala tuju kita akan menjadi kurang jelas.
“Oleh kerana RMK12 ini jaraknya sebulan dengan Belanjawan 2022, ini juga menimbulkan isu. Inilah cabaran yang kita hadapi,” katanya.