KUALA LUMPUR, 29 Sept — Malaysia tetap bimbang ekoran kurangnya kemajuan dalam isu pelucutan senjata nuklear meskipun ada beberapa perkembangan positif sejak beberapa tahun lalu, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata meskipun persekitaran keselamatan tidak menentu serta cabaran lain yang muncul akibat wabak COVID-19, dunia mesti terus kekal dalam usahanya untuk melucutkan senjata nuklear.
“Sebenarnya status quo dunia dengan senjata nuklear adalah tidak boleh diterima dan dibiarkan,” katanya,” katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Tertinggi Perhimpunan Agung ke-76 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memperingati dan mempromosikan Hari Penghapusan Senjata Nuklear, menerusi rakaman video, pada Rabu.
Beliau berharap sambutan itu akan dapat memperhebatkan gelombang global dan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan menyegerakan merealisasikan matlamat dunia bebas tanpa nuklear.
Saifuddin berkata ketika persidangan kajian semula Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) pada 1996, Malaysia sudah pun menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan melanjutkan tempoh pelucutan nuklear itu tanpa penetapan tarikh akhir, tidak akan memberi kelebihan terhadap keuniversalan perjanjian itu, sebaliknya memberi kuasa penuh pada negara kuasa nuklear untuk terus kekal menyimpan senjata itu.
“Kebimbangan itu ternyata benar sehingga sekarang. Bagi negara yang memiliki senjata nuklear, mereka terus mendukung pendirian terhadap potensi menggunakan senjata itu. Lebih luas lagi, negara yang dipayungi kuasa nuklear terus menggalakkan kewujudan senjata seumpama,” katanya.
Saifuddin berkata hasrat mewujudkan dunia bebas senjata nuklear adalah impian sekian lama masyarakat antarabangsa sejak sidang pertama Perhimpunan Agung PBB pada 1946.
“Atas dasar itu juga munculnya NPT yang kekal sehingga sekarang menjadi tonggak kepada rejim pelucutan dan pengawalan senjata nuklear,” katanya.
Beliau berkata, ketika kita menghampiri Sidang Kajian Semula NPT ke-19, manusia sejagat kekal berasa terancam, bukan sahaja disebabkan senjata nuklear terus ada tetapi mengalami proses modenisasi.
“Malah, struktur pelucutan senjata, kawalan senjata dan pengehadan senjata nuklear sudah berubah dan berbeza,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata, amat penting dan menjadi lebih kritikal sekarang ini berbanding sebelumnya untuk dunia bertindak berhubung isu pelucutan senjata nuklear.
“Jaminan tunggal dan pasti dalam usaha menentang penggunaan senjata nuklear adalah penghapusan penuh senjata ini,” katanya.
Saifuddin berkata, Malaysia berharap Negara-Negara Pihak (State Parties) terus mendokong obiligasi serta komitmen mereka sebelum ini terhadap perjanjian itu menjelang sidang ke-10 kelak dan bertindak dengan efektif ke arah pelaksanaannya.
Beliau menegaskan, Malaysia mengalu-alukan penguatkuasaan Perjanjian Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) pada 22 Januari 2021, yang mengukuhkan lagi norma global bahawa senjata nuklear sememangnya tidak boleh diterima.
“Ia tidak seharusnya digunakan, tidak seharusnya diancam untuk digunakan dan sepatutnya dibuang dan dimusnahkan secepat mungkin. Pengharaman senjata nuklear menyumbang ke arah keamanan dan keselamatan antarabangsa,” katanya.
Saifuddin berkata, Malaysia juga percaya bahawa TPNW – memperteguh dan bukannya mengugat, instrumen perundangan antarabangsa lain berkaitan pelucutan senjata nuklear, terutama NPT, Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Komprehensif dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara.
Dengan itu, katanya, Malaysia akan terus terbabit secara konstruktif menjelang Mesyuarat Pertama ‘TPNW State Parties’ pada Mac 2022.