KUALA LUMPUR, 30 Sept — Politik prihatin dan politik khidmat yang menjadi amalan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar diteruskan oleh kerajaan hari ini.
Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata agenda perjuangan demi rakyat sewajarnya diberikan perhatian demi menunjukkan komitmen yang berterusan dalam menjaga kemaslahatan rakyat.
“Dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hari ini oleh Presiden BERSATU merangkap mantan Perdana Menteri, beliau menyeru agar kerajaan memberi penelitian dan pertimbangan sewajarnya terhadap realiti kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
“Selari dengan prinsip keterangkuman yang diberi penekanan dalam RMK12, dan sebagaimana yang telah dimulakan melalui pelbagai pakej bantuan sebelum ini, kerajaan mesti memastikan tidak ada satu segmen masyarakat pun yang tertinggal daripada arus pemulihan yang hendak dilaksanakan.
“Kandungan RMK12 dirangka di bawah pentadbiran Muhyiddin. Sudah semestinya beliau memahami dengan mendalam mengenai kandungan, semangat dan matlamat yang harus memandu RMK12,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata projek-projek yang bakal dilaksanakan termasuk yang berimpak tinggi seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) perlu memberi peluang kepada kepakaran serta penglibatan syarikat dan konsortium kewangan tempatan, terutama syarikat-syarikat Bumiputera.
Jelas beliau, Malaysia mempunyai ramai usahawan yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai sektor dan mereka mesti diberi ruang untuk menyumbang kepada pemulihan negara.
“Untuk memastikan sektor swasta menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara, langkah menilai semula peranan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) adalah langkah yang betul.
“Kewujudan semua entiti ini haruslah membantu merancakkan ekonomi, bukannya mengekang perkembangan ataupun bersaing dengan syarikat dan usahawan tempatan,” ujar beliau.