KUALA LUMPUR, 6 Okt — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan menyediakan strategi pemasaran, perancangan serta pembangunan produk supaya langkah lebih agresif dapat digerakkan dalam usaha menangani kempen antisawit.
Menteri, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata seiring dengan itu, pihaknya juga akan terus melaksanakan langkah proaktif untuk menangani isu sawit seperti melibatkan pekerja serta membidas dakwaan berkaitan alam sekitar dan kesihatan.
Beliau berkata ini bagi memastikan komoditi tersebut kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.
“Kempen antisawit sudah (dilakukan) hampir 30 tahun, antaranya isu sawit berkaitan kesihatan, alam sekitar dan sekarang isu pekerja.
“Isu tersebut dilihat seperti ditimbulkan secara sengaja oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) disebabkan saingan pasaran bukan atas fakta sebenar,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata KPPK akan terus meredakan tekanan dari EU dan AS dengan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan dari negara tersebut dan memberi penerangan berasaskan fakta sekali gus menyangkal persepsi negatif terhadap minyak sawit.
Zuraida berkata pada masa sama, KPPK akan menekankan dan mengkaji pasaran di sebelah timur seperti China, India, Jepun dan Uzbekistan yang ketika ini menggunakan minyak sawit pada kadar yang tinggi.
“Kita akan melindungi pasaran di sebelah timur dan mendapatkan penguasaan pasaran yang lebih besar, di samping memastikan EU dan AS tidak mengganggu pasaran ini,” katanya.
Mengenai Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO), beliau berkata seperti diketahui umum, industri sawit Malaysia merupakan industri yang mempunyai piawaian tinggi dan kelestariannya diperkukuh untuk jangka panjang.
“Setakat ini hampir 100 peratus syarikat perladangan utama Malaysia telah mendapat pensijilan tersebut manakala hanya hampir 50 peratus pekebun kecil mendapat pensijilan.
“Kita akan berusaha tingkatkan lagi, sebab banyak tanam (di) tanah haram dan bukan milik. Kita akan cuba merangka polisi bagi membolehkan mereka mendapat pensijilan,” katanya.
Menyentuh isu kekurangan pekerja di sektor perladangan, Zuraida berkata KPPK telah berjaya mendapat kebenaran membawa masuk 32,000 pekerja asing bagi ladang sawit, terutama untuk kerja penuaian memandangkan pekerjaan itu tidak mendapat sambutan daripada warga tempatan.
“Kita mahu dapatkan 40 peratus hasil tuaian menjelang akhir tahun ini. Jika tidak bawa masuk (pekerja asing bagi sektor perladangan), industri dijangka rugi kira-kira RM20 bilion. Oleh sebab itu, KPPK bergegas-gegas untuk mendapatkan kelulusan ini,” katanya.
Mengenai penginapan pekerja sektor ladang yang sering dibangkitkan oleh EU dan AS, Zuraida berkata sudah sampai masanya untuk KPPK merangka dasar penginapan atau perumahan bagi pekerja perladangan.
“Ini supaya ia (tempat tinggal pekerja ladang) lebih teratur dan mempunyai piawaian yang perlu ia patuhi,” katanya.
Beliau berkata perumahan pekerja lazimnya disediakan oleh syarikat perladangan besar namun bagi kebun-kebun kecil, ia mungkin perlu diuruskan secara kluster agar dapat diatur dan berstruktur dengan lebih berkesan.
Mengenai projek tanaman sejuta pokok atau tanam semula pokok hutan, beliau berkata ia mencatatkan kadar perlahan berikutan situasi pandemik COVID-19.
“Namun diteruskan, tapi sedikit perlahan, semasa COVID telah tanam 10,000 pokok setakat ini. Urusan pelantikan kontraktor telah dijalankan dan pihak kontraktor akan memulakan kerja secepat mungkin selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa,” katanya.