KUALA LUMPUR, 6 Okt — Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 Sept lepas telah memberi kesan baik terhadap pelaburan negara setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini kerana kestabilan politik amat penting untuk pembangunan negara bagi memastikan fokus kepada usaha menangani COVID-19 dapat dimantapkan.
“Alhamdulillah MoU setakat ini ada kesan agak baik, walaupun tidak sempurna. Ia membolehkan kita fokus kepada usaha memulihkan pertumbuhan ekonomi negara yang merudum tahun lepas termasuk pelaburan kerana kalau tak ada kestabilan politik sudah pasti pelaburan juga terjejas.
“Kita mendoakan MoU yang ditandatangani akan beri hasil yang baik untuk rakyat dan akhirnya rakyat akan dapat manfaat dan terus merancakkan ekonomi pada 2022 dan seterusnya khususnya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) yang ingin tahu sama ada pergelutan politik memberi kesan negatif terhadap pelaburan antarabangsa dan menjejaskan pelaksanaan RMK12.
Bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai kemajuan MoU yang didakwa perlahan terutama usaha mentransformasi Parlimen, Mustapa meminta kerajaan diberi sedikit masa lagi bagi memastikan niat murni itu tercapai.
“Dalam hal ini kita perlu telus, jika ada kemajuan dan (jika) tidak ada, kita harus nyatakan demikian dan dalam kita menyelesaikan masalah ini ketelusan dan keikhlasan ini penting.
“Sudah pasti ahli dewan lebih faham dengan keadaan semasa, jika itulah keadaan sebenarnya melibatkan masalah pembaharuan Parlimen, kita akan pastikan hasrat murni ini dicapai dalam masa terdekat dan kita sedar, jadi beri masa sedikit,” katanya.