Dasar pendidikan digital digubal – Radzi

KUALA LUMPUR, 7 Okt — Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menggubal dasar pendidikan digital yang bermatlamat melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata dasar itu akan disokong dengan pelan tindakan komprehensif melalui strategi serta inisiatif yang strategik khususnya dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Dasar pendidikan digital dirangka bagi memupuk bakat digital yang berpengetahuan, berkemahiran dan beretika dalam penggunaan teknologi digital,” katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata di bawah kerangka dasar pendidikan digital, tumpuan akan diberikan untuk meningkatkan penguasaan murid dalam teknologi digital, memperkaya kandungan digital yang berkualiti, memperkasa kompetensi guru dan membudayakan penggunaan teknologi digital dalam kalangan pemimpin pendidikan.

“Tumpuan turut diberikan untuk mengupayakan infrastruktur dan infrastruktur digital institusi di bawah KPM dan memperkukuh jalinan strategik,” katanya.

Radzi juga berkata KPM sentiasa memberi penekanan kepada penggunaan teknologi digital dalam pelaksanaan PdP.

Beliau berkata dalam aspek latihan guru, perancangan peningkatan kompetensi dilaksana berdasarkan Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) dan Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Keguruan.

“Mengambil kira situasi pandemik COVID-19, kedua-dua pelan ini telah diselaras semula untuk memantapkan ilmu, kemahiran dan sikap guru terhadap cabaran pembelajaran abad ke-21,” katanya.

Radzi berkata sebanyak 1,949 aktiviti PPB berkaitan digital atau teknologi maklumat dan komunikasi telah dilaksana sehingga September lepas manakala 37 latihan berkaitan teknologi digital disediakan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia sehingga Julai.

Beliau juga berkata bakal guru yang sedang menjalani latihan di Institut Pendidikan Guru diwajibkan mengambil kursus Teknologi untuk PdP dan Inovasi Digital dalam PdP.

“Melalui kursus-kursus ini, bakal guru akan mempunyai kemahiran untuk menghasil dan menggunakan bahan digital bagi membantu proses pembelajaran murid di sekolah.

“Kursus ini membolehkan mereka menghasilkan bahan digital yang berkualiti. Mereka juga diberi pendedahan untuk mengurus media dan sumber PdP dengan cekap bagi membantu proses pembelajaran murid di sekolah,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *