KUALA LUMPUR: Program Pembangunan dan Pencarian Bakat (MyTID) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyasarkan penyertaan 60,000 murid sekolah rendah Tahun Satu hingga Enam.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata program itu adalah pendekatan diambil pihaknya bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengenal pasti bakat murid dalam bidang sukan dan seterusnya membangunkan potensi mereka ke tahap lebih tinggi.
Katanya, program berkenaan juga akan mengesan bakat baharu murid yang berpotensi untuk digilap seawal usia tujuh tahun.
“Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memberi perhatian kepada aspek pembangunan potensi murid, termasuk di dalam bidang sukan.
“Saya yakin KPM akan dapat mencungkil bakat lebih ramai murid dalam bidang sukan seterusnya dilatih sebaiknya untuk menjadi atlet berprestasi tinggi suatu hari nanti.
“Pihak kementerian komited melakukan yang terbaik dalam menjayakan program MyTID KPM-KBS, satu inisiatif memastikan negara dapat membangunkan potensi murid dan menjadikan mereka atlet berprestasi tinggi yang mampu bersaing di pentas antarabangsa,” katanya menerusi Facebook, malam ini.
Terdahulu, Ismail Sabri melancarkan MyTID, Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan dan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara di Putrajaya, sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2021.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, menggariskan landasan untuk pembangunan sukan negara dengan menggerakkan rencana ke arah memperkasakan pembabitan wanita, mencungkil bakat baharu dan menjadikan sukan sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi.
Ismail Sabri turut bersukan sempena HSN 2021 dengan menyertai beberapa acara yang diadakan di pekarangan KBS di Putrajaya.
Antara aktiviti sukan yang disertai Perdana Menteri ialah senamrobik, bola jaring, bola keranjang selain meninjau aktiviti sukan permotoran.
Ismail Sabri mendapat tepukan gemuruh daripada penonton apabila berjaya menyempurnakan jaringan ketika mencuba aktiviti sukan bola jaring.